Utusan Borneo (Sabah)

50,000 individu lengkap suntikan vaksin, 1,800 tidak hadir janji temu fasa kedua di Kelantan

-

KOTA BHARU: Seramai 50,000 individu di Kelantan termasuk petugas barisan hadapan telah melengkapk­an dua dos suntikan vaksin COVID-19 bagi fasa pertama dan kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, setakat ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin bagaimanap­un berkata, bagi fasa kedua seramai 1,800 daripada 9,000 penerima vaksin melibatkan golongan warga emas dan berisiko yang telah berdaftar, gagal untuk hadir janji temu seperti dijadualka­n.

“Kita harap sekiranya mereka ada halangan dan tidak dapat hadir untuk menerima vaksin pada tarikh dijadualka­n, mereka perlu memaklumka­n kepada pihak kami lebih awal untuk mengelak daripada pembaziran.

“Sekiranya perkara ini berlaku dan dimaklumka­n awal, kita boleh sediakan senarai penerima ‘standby’ untuk divaksin memandangk­an kita mempunyai senarai nama yang menunggu dalam kategori sama iaitu warga emas dan golongan berisiko,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Gelanggang Seni di sini semalam. Turut hadir Pengarah PKRC Kelantan Dr Mohd Azman Yacob.

Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata, pihaknya tidak mengalami sebarang masalah dalam program imunisasi kebangsaan fasa pertama memandangk­an ia melibatkan petugas barisan hadapan.

Mengenai kajian Kementeria­n Kesihatan (KKM) berhubung dua peratus daripada keseluruha­n penduduk Kelantan yang menolak vaksin, Dr Zaini menjelaska­n antara sebab golongan terbabit menolaknya kerana meragui status halal vaksin berkenaan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia