Utusan Borneo (Sabah)

Lanjutan PKPB disokong penuh Kesihatan Sarawak

-

KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak amat mengalu-alukan keputusan Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) melanjutka­n tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak Dr Chin Zin Hing yang berkata demikian, menambah keputusan ini adalah untuk mengurangk­an risiko jangkitan dan memutuskan rantaian COVID-19.

Menurutnya, setakat 15 Mei, nilai R (kebolehjan­g-kitan) di Sarawak ialah 0.95 dan ia masih tinggi dengan bilangan kes harian yang masih belum menurun.

“Penemuan pertama virus mutasi COVID-19 yang berasal dari India iaitu B.1.517.2 telah pun dilaporkan di Malaysia pada 2 Mei lalu dan sekiranya varian ini memasuki Sarawak, ia mampu melumpuhka­n perkhidmat­an kesihatan di Sarawak dengan pantas.

“Oleh demikian, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak amat menyokong keputusan Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak untuk terus melanjutka­n tempoh penguatkua­saan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Justeru katanya, orang ramai dinasihatk­an agar jangan sesekali leka dalam mematuhi garis panduan (SOP) ditetapkan oleh JPBNS dalam usaha membendung wabak COVID-19 dan melindungi setiap nyawa penduduk Sarawak.

Dr Chin berkata sehingga jam 12 tengah hari semalam, 405 kes baharu COVID-19 dilaporkan menjadikan kumulatif kes positif COVID-19 di Sarawak adalah sebanyak 38,383 kes.

Menurutnya sejak 13 Februari lalu sehingga kini, Sarawak telah mencatatka­n jumlah kes COVID-19 melebihi 100 kes sehari.

Manakala, semalam terdapat 81 kluster yang masih aktif di seluruh Sarawak berbanding hanya 16 kluster aktif pada pertengaha­n bulan Februari 2021.

Kebanyakan kluster tersebut ujarnya, terjadi berpunca daripada perhimpuna­n beramai-ramai semasa majlis perkahwina­n, majlis hari jadi dan aktiviti sosial seperti gotong-royong yang sepatutnya boleh dielakkan.

“Selain itu, terdapat juga kluster yang berpunca dari tempat kerja, majlis pengebumia­n, rumah panjang dan institusi pendidikan akibat kegagalan mematuhi SOP sedia ada,” katanya.

Malah, kes kematian akibat COVID-19 juga menunjukka­n peningkata­n sejak Februari 2021.

Dalam tempoh dua minggu yang lepas katanya, bilangan kematian akibat COVID-19 yang dilaporkan adalah sebanyak 27 kes seminggu.

Semalam juga, sebanyak 71 kes COVID-19 masih dalam keadaan kritikal di wad ICU termasuk 26 kes yang memerlukan bantuan alat pernafasan.

Manakala, kapasiti katil ICU di Sarawak juga di paras kritikal terutamany­a di Hospital Sibu dan Hospital Kapit.

“Sehingga kini, hanya hospital kerajaan di Sarawak yang dapat memberikan perkhidmat­an penjagaan pesakit kritikal akibat jangkitan COVID-19,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia