Utusan Borneo (Sabah)

Sabah paling ramai pesakit talasemia

Keperluan pesakit talasemia di negeri ini diberi keutamaan, kata Hajiji

- Oleh Siti Aisyah Narudin

KOTA KINABALU: Keprihatin­an semua pihak amat diperlukan dalam usaha mengurangk­an jumlah pesakit talasemia yang merekodkan jumlah yang tinggi di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, kerajaan negeri akan terus memastikan segala keperluan pesakit talasemia di Sabah dapat disediakan oleh pihak berkaitan terutama Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

Katanya, usaha itu sekali gus dapat membantu meringanka­n bebanan rawatan pesakit talasemia di negeri ini.

“Berdasarka­n statistik pada 2019, Sabah mencatatka­n seramai 1,829 pesakit talasemia daripada 8,178 pesakit di seluruh negara.

“Jumlah ini menjadikan Sabah merekodkan pesakit talasemia paling ramai di Malaysia dan ini memerlukan keprihatin­an semua pihak,” katanya pada Majlis Penutupan Sambutan Hari Talasemia Sedunia Tahun 2021 Peringkat Negeri Sabah di sini.

Menurutnya, Unit Transfusi Darah Hospital Queen Elizabeth (QEH) II sentiasa memberi kerjasama dalam menjayakan kempen derma darah yang dianjurkan oleh Persatuan Talasemia Sabah dan badan bukan kerajaan (NGO) yang lain.

Beliau berkata, ia termasukla­h membekalka­n semua rawatan secara percuma, memastikan pesakit mendapat rawatan dan menerima bekalan darah yang selamat serta rawatan pemindahan tulang sum-sum dan rawatan terapi stem sel secara percuma.

Hajiji turut menegaskan, kebajikan pesakit talasemia yang layak tidak disisihkan daripada menerima bantuan dalam bentuk kewangan daripada Jabatan Kebajikan Negeri Sabah.

“Sebagai pemimpin di Sabah, saya akan buat sedaya upaya dan menyokong segala usaha yang dirancang untuk membantu pesakit talasemia di negeri ini.

“Para pesakit talasemia dan keluarga mereka terus memainkan peranan sebagai ejen perubahan dengan mendidik ahli keluarga terdekat mengenai kepentinga­n menjalani ujian saringan.

“Ini sejajar dengan harapan kerajaan negeri supaya matlamat Persatuan Talasemia Sabah memutuskan rantaian talasemia major di negeri ini tercapai,” jelasnya.

Pihaknya juga menyeru masyarakat di negeri ini agar melakukan saringan talasemia di semua hospital kerajaan yang dibuat secara percuma.

Pada masa sama, beliau memuji usaha Persatuan Talasemia Sabah yang terus mengadakan pelbagai kempen kesedaran kepada orang ramai mengenai kawalan dan langkah pencegahan talasemia di seluruh negeri.

“Saya menyeru kepada semua pihak berkepenti­ngan dalam kawalan dan pencegahan Talasemia agar berganding bahu mengurangk­an beban penyakit Talasemia,” katanya.

Hajiji juga memuji usaha Repsol Oil & Gas Malaysia Limited ( REPSOL) atas sokongan berterusan dan sebagai penaja utama program Persatuan Talasemia Sabah.

Sehubungan itu, beliau menggesa lebih banyak organisasi mencontohi usaha yang dibuat oleh REPSOL sebagai sebahagian daripada tanggungja­wab sosial korporat (CSR) syarikat itu.

Sejajar dengan sambutan yang bertemakan ‘Memacukan Keseimbang­an Kesihatan Talasemia Secara Global’, Hajiji berharap sambutan Hari Talasemia akan meningkatk­an kesedaran dan pengetahua­n mengenai talasemia kepada pesakit, keluarga pesakit, NGO, warga hospital, masyarakat awam, agensi kerajaan, dan swasta.

 ??  ?? HARI TALASEMIA: Hajiji berucap merasmikan penutupan Sambutan Hari Talasemia Sedunia Tahun 2021 Peringkat Negeri Sabah yang diadakan secara maya.
HARI TALASEMIA: Hajiji berucap merasmikan penutupan Sambutan Hari Talasemia Sedunia Tahun 2021 Peringkat Negeri Sabah yang diadakan secara maya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia