Utusan Borneo (Sabah)

Syed Saddiq kekal pengakuan tidak bersalah dua tuduhan pengubahan wang haram RM100,000

-

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengekalka­n pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dua pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM100,000, tiga tahun lepas.

Syed Saddiq, 29, yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan semula di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Pada 5 Ogos lalu, Syed Saddiq mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama di Mahkamah Sesyen Johor Bahru dan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail membenarka­n permohonan pihak pendakwaan untuk memindahka­n kes tersebut ke Mahkamah Sesyen di sini.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, beliau didakwa melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahka­n wang masing-masing RM50,000 di dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 Jun dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan dikemukaka­n mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613], yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, dan sabit kesalahan memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram.

Peguam Haijan Omar yang mewakili Syed Saddiq memaklumka­n kepada mahkamah bahawa pihaknya telah memfailkan permohonan untuk memindahka­n kedua-dua kes itu dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi dan permohonan tersebut akan didengar di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan pada 25 November ini.

Suzana kemudian menetapkan 30 November untuk sebutan semula kes.

Di Mahkamah Sesyen berasingan, Hakim Azura Alwi turut menetapkan tarikh sama (30 Novemebr) untuk sebutan semula dua lagi kes dihadapi Syed Saddiq berhubung pertuduhan pecah amanah dana sebuah parti politik berjumlah RM1 juta, dan menyalahgu­nakan wang sumbangan RM120,000 untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Haijan ketika ditemui pemberita berkata, pihaknya juga telah memfailkan permohonan supaya dua kes tersebut dipindahka­n ke Mahkamah Tinggi dan permohonan itu akan didengar di hadapan hakim sama (Mohamed Zaini) pada 25 November.

Bagi pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa sebagai Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda ( ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), yang telah diamanahka­n penguasaan ke atas dana Armada, telah melakukan pecah amanah ke atas dana itu, dengan membuat pengeluara­n wang berjumlah RM1 juta melalui cek CIMB Bank Berhad, tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Tingkat Bawah, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2, di sini pada 6 Mac 2020, mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 406 kanun sama, yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq juga menghadapi tuduhan menyalahgu­nakan harta iaitu, wang sumbangan untuk kempen PRU14 sebanyak RM120,000 yang dikutip melalui akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Islamic Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya antara 8 April sehingga 21 April 2018, mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

 ?? — Gambar Bernama ?? TERTUDUH: Syed Saddiq ketika hadir untuk sebutan kesnya berhubung satu pertuduhan pecah amanah membabitka­n dana sebuah parti politik berjumlah RM1 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, semalam.
— Gambar Bernama TERTUDUH: Syed Saddiq ketika hadir untuk sebutan kesnya berhubung satu pertuduhan pecah amanah membabitka­n dana sebuah parti politik berjumlah RM1 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia