Utusan Borneo (Sabah)

COVID-19 beri impak kesihatan mental

-

KUALA LUMPUR: Masyarakat di Malaysia tidak terkecuali daripada menerima impak kesihatan mental akibat situasi pandemik COVID- 19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata faktor sosial yang menyebabka­n stres terlampau antaranya hilang pekerjaan atau sumber pendapatan, isolasi daripada rangkaian sokongan keluarga dan sahabat handai boleh memberi kesan kepada sesetengah individu yang berisiko tinggi untuk mengalami masalah kesihatan mental termasuk kemurungan.

“Sekiranya kemurungan ini gagal dikenal pasti dan dirawat dengan baik, ia berisiko untuk tingkah laku bunuh diri.

“Tingkah laku bunuh diri meliputi idea bunuh diri (suicidal ideation), rancangan bunuh diri (suicidal plan), cubaan bunuh diri (suicide attempt) dan kematian akibat tindakan bunuh diri,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia, semalam.

Tema tahun ini adalah ‘Bertindak Segera, Harapan Terbina’ bertujuan untuk meningkatk­an keyakinan masyarakat bagi memainkan peranan penting dalam mencegah insiden bunuh diri dan menghapusk­an stigma berkaitan tingkah laku bunuh diri.

Dr Noor Hisham berkata hingga Julai tahun ini, sejumlah 638 kes bunuh diri dilaporkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berbanding 262 kes bagi tempoh sama pada 2020 iaitu peningkata­n sebanyak 143 peratus atau 1.4 kali lebih banyak.

Selaras dengan konsep Keluarga Malaysia, Dr Noor Hisham berkata masyarakat memainkan peranan bersama bagi mengenal pasti simptom awal kemurungan dan tingkah laku bunuh diri dalam kalangan orang yang disayangi terutamany­a dalam situasi COVID-19.

Ia termasuk mengambil tahu dan bertanya khabar ahli keluarga dan orang sekeliling terutamany­a yang terkesan akibat pandemik, memberikan sokongan dan dorongan untuk mendapatka­n bantuan dan rawatan, serta mengelakka­n penularan berita, video atau gambar berkaitan kejadian bunuh diri menerusi media sosial.

Masyarakat juga perlu membuang stigma negatif terhadap keluarga serta individu dengan penyakit mental dan tidak menghakimi kejadian bunuh diri yang berlaku, di samping mengekalka­n hubungan dan memberi sokongan sosial terutama selepas sesuatu krisis berlaku, katanya.

Antara inisiatif yang dilaksanak­an Kementeria­n Kesihatan ( KKM) dalam menangani isu tingkah laku bunuh diri adalah pengukuhan perkhidmat­an sokongan kesihatan mental dan psikososia­l, sokongan terhadap usaha dekriminal­isasi cubaan bunuh diri dan advokasi kempen ‘Let’s TALK Minda Sihat’.

Inisiatif lain termasuk latihan berterusan kepada first-line responders seperti anggota kesihatan, polis, dan anggota bomba bagi meningkatk­an kemahiran pengendali­an tingkah laku bunuh diri dan mempergiat sesi libat urus dengan pelbagai kementeria­n serta agensi kerajaan dan bukan kerajaan.

Menurut Dr Noor Hisham, KKM akan terus komited menjalinka­n kerjasama serta mengalu- alukan pelbagai agensi lain untuk mengambil bahagian dalam pelaksanaa­n pencegahan tingkah laku bunuh diri.

Katanya, usaha itu diharap dapat meningkatk­an kesedaran masyarakat mengenai kepentinga­n pencegahan tingkah laku bunuh diri, menghapusk­an stigma terhadap tingkah laku bunuh diri dan seterusnya menurunkan kadar kematian akibat bunuh diri.

 ??  ?? DR NOOR HISHAM
DR NOOR HISHAM

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia