Utusan Borneo (Sabah)

Masalah kesihatan mental perlukan tindakan tertentu untuk kurangkan kes bunuh diri

-

KUALA LUMPUR: Masalah kesihatan mental sehingga mempunyai perasaan ingin membunuh diri memerlukan tindakan tertentu bagi mengurangk­an jumlah kematian yang menyayat hati akibat pembunuh senyap itu.

Penaung Befriender­s KL Tan Sri Lee Lam Thye berkata terdapat beberapa tindakan yang boleh diambil untuk membantu mereka yang mula kehilangan harapan terutama ekoran situasi negara yang kini berdepan dengan pandemik COVID-19.

“Antara langkah yang boleh diambil ialah memperliha­tkan keprihatin­an kita kepada seseorang sama ada secara minimal atau pun tanpa sedar selain mewujudkan ruang dan peluang untuk mereka yang mempunyai pemikiran ingin membunuh diri untuk meluahkan perasaan.

“Bahkan komunikasi yang minimal dan kelihatan seperti remeh sebenarnya mampu mencetuska­n semangat untuk kembali meneruskan kehidupan kerana dapat mengurangk­an tekanan jiwa yang mereka hadapi,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Bersempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia yang disambut semalam dengan tema ‘Bertindak Segera, Harapan Terbina’, beliau berkata tema tersebut adalah seruan untuk semua pihak menggemble­ng tenaga mengambil tindakan yang sewajarnya dan bergerak sebagai satu pasukan dalam melakukan pemerhatia­n serta bekerjasam­a menangani masalah kesihatan mental dan kes bunuh diri.

Befriender­s merupakan sebuah pertubuhan bukan berdasarka­n keuntungan yang menyediaka­n khidmat sokongan emosi 24 jam setiap hari kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.

Lee yang juga Ahli Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental berkata purata empat kes bunuh diri dilaporkan setiap hari antara Januari hingga Mei tahun ini dan ia menyaksika­n peningkata­n yang timbul ketika pandemik COVID-19 yang berpunca daripada kesihatan mental.

Dilaporkan hingga Julai tahun ini, sejumlah 638 kes bunuh diri dilaporkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berbanding 262 kes bagi tempoh sama pada 2020 iaitu peningkata­n sebanyak 143 peratus atau 1.4 kali lebih banyak.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia