Utusan Borneo (Sabah)

Hoki: Hanya yang lengkap dos vaksin COVID-19 dibenar sertai MJHL 2021 dan Piala Tun Abdul Razak 2021

-

KUALA LUMPUR: Konfederas­i Hoki Malaysia (KHM) mewajibkan kesemua pemain dalam Piala Tun Abdul Razak 2021 dan Liga Hoki Remaja Malaysia (MJHL) 2021 melengkapk­an dua dos vaksin untuk bermain dalam dua kejohanan domestik itu.

Pengerusi Jawatankua­sa Pertanding­an KHM Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh berkata syarat itu merupakan sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi penganjura­n kedua-dua kejohanan berkenaan dalam membendung penularan COVID-19 ketika ini.

“Kesemua pemain perlu menerima dua dos vaksin, jika tidak, anda tidak akan dibenarkan menyertai kejohanan. Kita akan minta mereka tanda tangan untuk pastikan bahawa semua pemain telah melengkapk­an dua dos vaksin,” katanya dalam sidang media dalam talian, semalam.

Piala Tun Abdul Razak 2021 dijadual bermula pada 10 hingga 20 Nov ini, manakala MJHL 2021 bakal berlangsun­g bermula 26 Nov hingga 2 Jan 2022.

Sementara itu beliau berkata terdapat sedikit perubahan bagi penganjura­n MJHL 2021 dengan kejohanan itu akan dilangsung­kan bagi kategori lelaki sahaja.

Bagaimanap­un Anil Jeet berkata pihaknya mempunyai perancanga­n untuk menganjurk­an kejohanan bagi kategori wanita pada awal tahun depan.

Menurutnya format yang digunakan pada edisi MJHL sebelum ini iaitu pecahan dua divisyen akan dikekalkan dengan divisyen satu akan dipertandi­ngkan secara liga satu pusingan melibatkan 10 pasukan, manakala bagi divisyen dua pula, kumpulan dipecahkan mengikut penyertaan diterima KHM.

Saingan Piala Tun Abdul Razak 2021 pula akan menyaksika­n satu divisyen dipertandi­ngkan bagi kategori lelaki merangkumi empat kumpulan manakala kategori wanita juga dengan satu divisyen melibatkan tiga kumpulan.

Sementara itu beliau berkata pendaftara­n bagi MJHL 2021 yang dibuka sejak Selasa lepas (7 Sept) akan ditutup pada 21 Sept ini manakala permohonan pasukan bagi menyertai saingan Piala Tun Abdul Razak 2021 pula akan dibuka pada 17 hingga 30 Sept ini.

Kedua- dua kejohanan berkenaan akan dilangsung­kan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini.

Saingan MJHL tahun lepas terpaksa dibatalkan berikutan pandemik COVID-19, namun Piala Tun Abdul Razak 2020 dilangsung­kan dengan jayanya tanpa ada sebarang jangkitan wabak berkenaan dalam kalangan pemain dan pegawai terlibat.

Pasukan Perak dan Pahang masing- masing muncul juara bagi kategori lelaki dan wanita kejohanan hoki Piala Tun Abdul Razak 2020. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia