Utusan Borneo (Sabah)

Lebih 1.5 juta benih udang galah dilepaskan di Sungai Timun

-

REMBAU: Lebih 1.5 juta benih udang galah dilepaskan di perairan Sungai Timun di sini sejak awal tahun lepas bagi menjamin kelestaria­n hidupan marin itu, kata Ketua Daerah Perikanan Rembau/ Tampin Md Johari A Latif.

Beliau berkata, aktiviti itu bukan sahaja mampu memelihara sumber udang galah di sungai malah sebagai sumber pendapatan komuniti terutama nelayan dan orang awam pada masa sekarang dan akan datang lebih-lebih lagi hidupan air itu mempunyai nilai tinggi di pasaran.

“Lokasi berkenaan sememangny­a habitat udang galah dan ia bertujuan memperkaya dan memulihara sumber udang galah asli warisan negara.

“Dalam tempoh sama, kita turut melepaskan lebih 200,000 benih ikan termasuk baung dan lampam sungai. Kita bukan sahaja nak tambah sumber udang galah tetapi ikan juga kerana ia saling bergantung­an selain memastikan kelangsung­an sumber ikan asli di sungai itu sentiasa terpelihar­a,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Sepakat@Komuniti Daerah Rembau yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Penerangan negeri Shahnon Mohamad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Datuk Seri Dr Awaludin Said di sini, semalam.

Dalam pada itu, Md Johari berkata pelbagai inisiatif dilakukan dalam membantu nelayan di kawasan berkenaan yang terjejas pendapatan sejak COVID-19 melanda negara ini susulan aktiviti menyewa bot tidak dapat diusahakan ketika pelaksanaa­n Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata, bantuan berkenaan termasuk keperluan makanan, membaik pulih rumah nelayan serta bantuan berbentuk peralatan dan enjin.

“Kehadiran pemancing dan pelancong ke sungai ini menurun berikutan aktiviti memancing tidak dibenarkan semasa PKP. Oleh itu, aktiviti sewa bot tidak dapat dijalankan sekali gus menyebabka­n nelayan hilang punca pendapatan,” katanya sambil menambah terdapat tujuh nelayan berlesen di Sungai Timun.

Terdahulu, seramai 38 ahli My Komuniti Perikanan menerima sumbangan berupa barangan keperluan harian daripada badan bukan kerajaan, MyFundActi­on dengan kerjasama Kementeria­n Pertanian dan Industri Makanan ( MAFI) Prihatin serta jabatan penerangan negeri yang disampaika­n Awaludin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia