Jangan buat tuduhan tidak berasas terhadap SPRM
KOTA KINABALU: Ahli politik yang menghadapi pertuduhan mahkamah atas dakwaan rasuah tidak sepatutnya menyalahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM) dengan tuduhan tidak berasas.
Pensyarah Kanan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam (USIM) Dr Mohd Azmir Mohd Nizah berkata, kenyataan yang seolah- oleh menggunakan SPRM sebagai kambing hitam boleh menjejaskan imej dan reputasi SPRM sebagai agensi pencegah rasuah utama negara.
“Sebagai sebuah agensi yang ditugaskan untuk mencegah rasuah, ia tak sepatutnya digunakan sebagai medan untuk melemparkan tuduhan tidak berasas oleh ahli politik,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas kenyataan seorang Ahli Parlimen yang didakwa selepas didapati menyalahgunakan kedudukannya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Khamis lalu.
Ahli politik itu dalam kenyataan medianya mendakwa pertuduhan rasuah oleh SPRM terhadapnya atas pemberian kontrak pengurusan Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan adalah bermotifkan politik berikutan beliau enggan meninggalkan partinya untuk menyokong parti kerajaan.
Beliau juga mendakwa pertuduhan rasuah itu adalah bertujuan mencemarkan namanya sebelum Pilihanraya Umum Ke-15.
Mohd Azmir berkata, kenyataan media terbabit jelas berbaur politik serta membawa naratif bahawa SPRM adalah bebas mengikut arahan oleh pihak tertentu yang mana kenyataan ini tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang pemimpin politik.
“Tertuduh seharusnya menjawab tuduhan ini di muka pengadilan, bukannya cuba mengalihkan tumpuan. Ini adalah strategi biasa yang digunakan oleh ahli politik,” katanya.
Dalam pada itu, pemerhati politik, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, jika dilihat dalam laporan media, siasatan terhadap ahli politik itu dijalankan sejak Januari 2020 dan mendapat kebenaran mendakwa pada Julai 2021.
“Keputusan dakwaan dikeluarkan sebelum pertukaran kerajaan dan pelantikan Perdana Menteri baharu, malah MoU yang ditandatangani oleh kerajaan Perikatan Nasional dan pembangkang hanya berlaku pada bulan September.
“Jadi, adalah mustahil untuk mengaitkan keputusan SPRM untuk melakukan pendakwaan disebabkan beliau tidak mahu menyokong kerajaan baharu yang dipimpin Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob,” katanya.