Jeffrey kekal sebagai Presiden STAR
KOTA KINABALU: Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan mengekalkan jawatan presiden setelah memperoleh pencalonan 100 peratus dari 64 Bahagian berdaftar di seluruh negeri dalam Mesyuarat Agung Perwakilan Tri-Tahunan Kali Kedua pada 20 sehingga 21 Oktober ini.
Setiausaha Agung STAR Senator Datuk Guandee Kohoi berkata, turut menang tanpa bertanding ialah Timbalan Presiden (Bumiputera Bukan Islam) Datuk Ellron Alfred Angin dan tiga naib presiden.
“Mesyuarat Agung Perwakilan Tri-Tahunan secara atas talian ini melibatkan Persidangan
Wiramuda dan Wiranita pada 20 Oktober sementara Mesyuarat Agung Perwakilan Pusat pada 21 Oktober,” katanya dalam kenyataan, kelmarin.
Jelas Guandee lagi, tiga naib presiden yang turut menang tanpa bertanding ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan Datuk Annuar Ayub Aman dan Ketua Bahagian STAR Silam, Nawawi Saking (Bumiputera Islam) serta Ketua Bahagian STAR Karambunai Kapitan Stephen Teo (Cina).
Menurut Guandee, proses pengundian 10 perwakilan setiap bahagian untuk memilih calon-calon bertanding berlangsung di pusat-pusat pengundian setempat di seluruh negeri pada 10 sehingga 18 Oktober 2021.
Guandee berharap caloncalon bertanding beserta para penyokong berkempen secara kekeluargaan kerana pemilihan ini merupakan proses dalaman parti yang perlu disempurnakan secara berhemah.
“Keputusan pemilihan setiap jawatan akan diumumkan pada 20 Oktober untuk Wiramuda dan Wiranita, sementara bagi jawatan-jawatan di peringkat pusat akan diumumkan pada kemuncak persidangan pada 21 Oktober,” katanya.
Sementara itu, Guandee memaklumkan persidangan kali ini akan menyaksikan langkah ke hadapan parti untuk memperkasakan peranan dengan membentangkan beberapa usul berkaitan pindaan perlembagaan.