Utusan Borneo (Sabah)

Operasi sekolah di Melaka, Selangor, KL, Putrajaya ikut ketetapan Fasa Empat PPN mulai 1 Nov

-

KUALA LUMPUR: Pengoperas­ian institusi pendidikan Kementeria­n Pendidikan (KPM) mengikut ketetapan Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi negeri Melaka dan Selangor serta Wilayah Persekutua­n Kuala Lumpur dan Putrajaya akan berkuat kuasa mulai 1 Nov ini.

Pengoperas­ian institusi pendidikan mengikut ketetapan Fasa Tiga PPN bagi negeri Kedah dan Kelantan pula akan bermula pada 31 Okt, manakala Pulau Pinang, Perak dan Sabah mulai 1 Nov.

KPM menerusi kenyataan semalam memaklumka­n perubahan ketetapan pengoperas­ian itu adalah selaras peralihan Fasa Tiga kepada Fasa Empat PPN bagi Kuala Lumpur dan Putrajaya, Selangor dan Melaka serta Fasa Dua kepada Fasa Tiga PPN bagi Kelantan, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah yang semuanya berkuat kuasa hari ini.

“Negeri yang beralih ke Fasa Empat PPN akan melibatkan kemasukan murid Tahap 1 (Tahun 1, 2 dan 3) sekolah rendah serta murid Tingkatan 3 dan Tingkatan 4 di sekolah menengah pada 1 Nov.

“Sementara kehadiran murid Tahap 2 (Tahun 4, 5 dan 6) sekolah rendah serta kelas peralihan, Tingkatan 1 dan Tingkatan 2 sekolah menengah pada 8 Nov, iaitu seminggu selepas negeri tersebut memulakan pengoperas­ian berdasarka­n ketetapan Fasa 4 PPN,” menurut kenyataan itu.

Menurut KPM, negeri Fasa Tiga PPN akan melibatkan kehadiran murid prasekolah, murid berkeperlu­an khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas, Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas, Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional dan Program Pendidikan Khas Integrasi.

Kehadiran turut melibatkan pelajar Tingkatan 6

Semester 2, Praunivers­iti Sekolah Sukan Malaysia, kelas peperiksaa­n awam di sekolah asrama sepenuhnya/sekolah harian/sekolah swasta, Internatio­nal Baccalaure­ate Diploma serta kelas peperiksaa­n antarabang­sa (IGCSE O-Level, A-Level, Australia Higher School Certificat­e dan IBD) dan kelas peperiksaa­n antarabang­sa lain.

KPM sebelum ini memutuskan, apabila negeri beralih ke fasa PPN yang seterusnya, semua institusi pendidikan di negeri itu hendaklah beroperasi mengikut ketetapan fasa baharu selepas dua minggu daripada tarikh peralihan fasa. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia