Kelantan bangunkan Taman Perindustrian IBS pertama di Malaysia
KOTA BHARU: Kelantan akan membangunkan Taman Perindustrian Sistem Binaan Berindustri (IBS) pertama seumpamanya di negara ini sekali gus menjadi pusat rujukan setempat bagi meningkatkan kapasiti dan keupayaan industri pembinaan khususnya di pantai Timur.
Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, taman perindustrian itu dibangunkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 ( RMK12) dengan peruntukan lebih RM70 juta dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 24 bulan.
“Taman Perindustrian IBS ini merupakan satu daripada inisiatif di bawah Program Kecemerlangan IBS di Kelantan yang akan dibangunkan di tanah berkeluasan200ekar(80hektar) di Sungai Bagan, Machang yang telah disumbangkan oleh kerajaan Kelantan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan Kelantan dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) bagi usaha sama membangunkan Taman Perindustrian IBS itu di sini semalam.
MoU itu ditandatangani Setiausaha Kerajaan Kelantan Datuk Nazran Muhammad dan Ketua Eksekutif CIDB
Datuk Ahmad ‘Asri Abdul Hamid dengan disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob. — Bernama