E-Payroll KWSP terima anugerah inovasi WorldPensionSummit 2021
KUALALUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja ( KWSP) telah menerima Anugerah Inovasi bagi kategori teknologi daripada Pensions & Investments (P&I) WorldPensionSummit 2021 bagi sistem e-Payroll.
Ia menerima anugerah itu bersempena Persidangan WorldPensionSummit di The Hague, Netherlands baru-baru ini yang bertujuan mengiktiraf inovasi dalam komunikasi, reka bentuk pelan, teknologi dan pelaburan.
Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata pengiktirafan itu akan menjadi dorongan kepada KWSP untuk terus berinovasi dan memberikan tahap perkhidmatan tertinggi, di samping memenuhi jangkaan ahli dan majikan.
Ini merupakan anugerah kedua yang diterima daripada WorldPensionSummit selepas merangkul Anugerah Komunikasi Inovasi 2016 untuk Khidmat Nasihat Persaraan (RAS).
Sistem e-Payroll KWSP dibangunkan khas untuk membantu perusahaan kecil sederhana yang menggunakan i- Akaun (Majikan), tetapi tidak mempunyai sistem penggajian atau kemampuan kewangan untuk menggunakannya. — Bernama