Utusan Borneo (Sabah)

Rumah warga emas ranap dilanda angin kencang

- Oleh Vivi Olviana Najurus

KOTA BELUD: Nasib malang menimpa pasangan warga emas apabila kediaman mereka ranap dilanda angin kencang di Kadamaian, di sini.

Pemilik rumah, Raiman Jimbun, berkata kejadian pada 30 April lalu itu berlaku apabila beliau dan suaminya yang sedang sakit berada di rumah terbabit sebelum angin kencang melanda.

“Semasa ingin ke dapur, saya sangat terkejut melihat atap dapur terbang seolah-oleh diangkat dan bahagian dapur musnah dalam sekelip mata.

“Mujurlah pada masa itu saya tidak berada di kawasan dapur walaupun ketika itu adalah masa rutin saya berada di ruang dapur untuk memasak,” katanya.

Beliau berkata kejadian ini adalah bencana kali kedua yang terpaksa dilalui selepas banjir besar yang memusnahka­n tanaman padinya.

Tambahnya, beliau hanya mampu melihat padi yang ditanam sudah menguning dan menunggu masa untuk dituai musnah sama sekali apabila dilanda banjir besar.

Sementara itu, beberapa pemimpin Parti Bersatu Sabah (PBS) Kadamaian turun padang memberi bantuan atas keprihatin­an dan simpati kepada pasangan ini.

Ketua Bahagian PBS Kadamaian, Demis Rumanti, semasa mengadakan lawatan ke rumah mangsa untuk melihat sendiri kerosakan yang dialami berkata berat mata memandang tetapi berat lagi bahu yang memikul.

“Kita akan mengadakan gotong-royong untuk memulihkan semula rumah mangsa yang musnah akibat angin kencang tersebut,” katanya.

Timbalan Ketua Bahagian PBS Kadamian, Walter Kandayon, berkata pihaknya akan menyelaras aktiviti tersebut dalam masa terdekat dan beliau yakin dengan kerjasama padu daripada rakan-rakan dalam bahagian termasuk Pemuda dan Wanita, rumah mangsa akan dapat dipulihkan dalam masa terdekat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia