Utusan Borneo (Sabah)

Ternakan kelulut bantu pusat pengajian agama jana pendapatan

-

KUALA NERUS: Projek ternakan kelulut hasil inisiatif Kumpulan Penyelidik Lebah dan Kelulut (SIG) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di dua pusat pengajian agama di sini berjaya membantu menjana pendapatan institusi itu hingga RM2,000 sebulan.

Ketua SIG Prof Shamsul Bahri Abd Razak berkata projek ternakan di Pondok Al-Madini dan Pusat Pengajian Tahfiz Ribat As-Sofa yang dimulakan pada 2020 membuahkan hasil yang konsisten dengan pemantauan serta tunjuk ajar berterusan daripada ahli SIG.

Beliau berkata ia sekali gus membantu institusi tersebut memperoleh pendapatan sendiri bagi menampung perbelanja­an pelajar yang rata-rata terdiri daripada golongan miskin dan anak yatim.

“Di Pusat Pengajian Tahfiz Ribat As-Sofa, kita ada 30 koloni kelulut manakala di Pondok Al-Madini ada 15 koloni yang disumbang atau diinfaq oleh orang ramai.

“Walaupun hasilnya tidaklah mencecah puluhan ribu ringgit, ia sedikit sebanyak melegakan pihak pengurusan yang terpaksa menguruska­n makanan, pakaian dan keperluan perbelanja­an anakanak di dalam keadaan sumber kewangan terhad,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurut Shamsul Bahri, pihaknya merancang untuk memperluas projek ternakan kelulut di beberapa pusat pengajian agama pada tahun ini bagi menggalakk­an mereka menjana sumber pendapatan sendiri.

Oleh itu, pihaknya amat memerlukan sumbangan daripada mana-mana pihak dalam apa juga bentuk terutama kewangan bagi menjayakan projek berkenaan.

“Harga satu koloni kelulut di pasaran agak mahal iaitu sekitar RM700 hingga RM800. Oleh itu kita amat mengalu-alukan bantuan wang tunai atau koloni itu sendiri.

“Ternakan kelulut adalah satu industri yang lestari dan ia mampu dikembangk­an untuk memberi pulangan lumayan kepada pemain-pemainnya,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia