Utusan Borneo (Sabah)

Feri Melaka-Dumai kembali beroperasi: Ibu gembira bertemu anak selepas tiga tahun

-

MELAKA: Syawal kali ini amat bermakna buat Mas Rika Sukemi, 44, yang akhirnya dapat bertemu anak sulungnya Syafiq Aditya Ababil, 22, selepas tiga tahun, ekoran penutupan sempadan akibat pandemik COVID-19.

Beliau yang menetap di Kampung Melayu Subang berkata mereka sekeluarga amat bersyukur apabila mengetahui mengenai pengoperas­ian semula perkhidmat­an feri dari Dumai, Indonesia ke Melaka bermula kelmarin.

Mas Rika berkata sebelum pandemik, anaknya yang menetap di Dumai bersama datuknya sering ke Malaysia, namun sejak penutupan sempadan antara kedua-dua negara itu mereka hanya berhubung menerusi panggilan video.

“Rasa sangat teruja dan kami juga telah menyediaka­n pelbagai juadah seperti lemang, ketupat palas, rendang dan sebagainya untuk menyambut kepulangan­nya,” katanya kepada pemberita di sini kelmarin.

Terdahulu seramai 175 penumpang dari Dumai yang menaiki perkhidmat­an Feri Indomal Kingdom selamat tiba pada jam 12.30 tengah hari di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamata­n (ICQS) Kota Laksamana.

Ketibaan mereka disambut Exco Pelanconga­n, Kebudayaan dan Warisan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis.

Sementara itu, Helda Anna Ibrahim, 61, dari Dumai berkata pengoperas­ian semula feri itu membolehka­nnya untuk berulang alik ke Melaka bagi mendapatka­n semula rawatan penyakit kanser di sebuah hospital swasta di sini.

Bekas guru itu berkata sebelum ini dia telah menjalani rawatan serta pembedahan di Melaka, bagaimanap­un sepanjang tempoh penutupan sempadan beliau tidak dapat melakukan pemeriksaa­n kesihatan susulan.

Sementara itu, Muhammad Jailani berkata kerajaan negeri menyasarka­n kedatangan seramai satu juta pelancong dari Indonesia sehingga akhir tahun ini, selain akan terus mempergiat promosi pelanconga­n di negara jiran itu.

Katanya pelanconga­n kesihatan adalah antara yang menjadi tumpuan utama kemasukan pengunjung ke Melaka yang ingin mendapatka­n rawatan di empat hospital swasta di negeri ini.

 ?? — Gambar Bernama ?? SELAMAT TIBA: Mas Rika (kanan) ditemani suami Siyatno Harun, 52, (kiri) memeluk anak sulungnya Syafiq Aditya yang tiba di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamata­n (ICQS) Kota Laksamana di Melaka, kelmarin.
— Gambar Bernama SELAMAT TIBA: Mas Rika (kanan) ditemani suami Siyatno Harun, 52, (kiri) memeluk anak sulungnya Syafiq Aditya yang tiba di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamata­n (ICQS) Kota Laksamana di Melaka, kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia