Utusan Borneo (Sabah)

SEGERA BINA SEMULA JAMBATAN KONKRIT

Rayuan kepada JKR dan syarikat konsesi susulan jambatan konkrit Kg Mendulong musnah akibat banjir Disember tahun lalu

- Oleh Vivi Olviana Najurus

SIPITANG: Jabatan Kerja Raya (JKR) dan syarikat konsesi digesa untuk membina semula jambatan konkrit Kampung Mendulong yang musnah disebabkan musibah banjir melanda pada penghujung tahun lalu.

Pemimpin Pembanguna­n Masyarakat (PPM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin Sani Miasin berkata, jambatan yang digunakan untuk menyeberan­gi Sungai Muaya di sini musnah akibat arus deras semasa banjir besar terbabit.

Katanya, jambatan itu digunakan oleh penduduk kampung untuk menjalanka­n aktiviti harian terutama kegiatan pertanian selain menghantar anakanak ke sekolah bagi penduduk kampung yang tinggal di seberang sungai dan perumahan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS).

“Ketiadaan jambatan ini menyukarka­n penduduk kampung memandangk­an jalan raya terdekat terletak agak jauh iaitu kira-kira 15 kilometer dari jarak jambatan itu dibina dan terpaksa melalui beberapa buah kampung.

“Kerosakan jambatan ini sudah dilaporkan kepada pihak JKR pada 29 Disember tahun lalu selepas saya melawat dan meninjau keadaan jambatan itu hasil aduan daripada pemimpin setempat dan orang kampung ketika itu.

“Namun, sehingga hari ini selepas lebih empat bulan berlalu, masih belum ada sebarang tindakan diambil oleh pihak berkenaan, termasuk Pejabat Daerah Sipitang,” katanya selepas melawat dan meninjau jambatan kampung untuk kali kedua baru-baru ini.

Sani berharap pihak JKR khususnya syarikat konsesi yang dilantik oleh kerajaan negeri segera mengambil tindakan membina semula jambatan konkrik baharu.

Beliau berkata, sekiranya pembinaan semula jambatan baharu perlukan masa yang lama dan kos yang tinggi, syarikat konsesi dan JKR wajar membina jambatan gantung sebagai alternatif jangka pendek untuk kegunaan penduduk kampung.

“Sementara menunggu peruntukan untuk membina jambatan baharu, bina dahulu jambatan gantung yang boleh digunakan oleh penduduk kampung dan juga dapat dilalui oleh motosikal.

“Pemimpin rakyat lain termasuk Timbalan Menteri Kewangan Yamani Hafez Musa yang juga Ahli Parlimen Sipitang serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin Datuk Dr. Yusof Yacob yang kini wakil rakyat bebas pro-Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) wajar membantu mendapatka­n peruntukan segera demi rakyat yang diwakili,” katanya.

Sani juga menggesa JKR memantau kerja penyelengg­araan jalan raya yang dilakukan oleh syarikat konsesi memandangk­an terdapat aduan daripada orang awam bahawa kerja yang dilakukan tidak berkualiti.

“Selain itu JKR juga perlu bertindak proaktif membaiki segera jalan yang rosak dan berlubang demi keselesaan dan keselamata­n pengguna.

“Terdapat masalah kerosakan jalan raya yang sudah berlaku bertahun-tahun lamanya tanpa pembaikan, jangan tunggu sehingga dikritik atau ditularkan dalam media sosial baharu bertindak, ini akan menjejaska­n nama baik Kerajaan GRS-BN,” katanya.

Sani berkata, pejabat daerah, jabatan serta agensi kerajaan yang lain di Sipitang

juga perlu mengambil tindakan sewajarnya apabila menerima aduan dan laporan berhubung pelbagai masalah dihadapi oleh penduduk kampung.

“Jangan hantar kontraktor berbincang dengan orang kampung, JPKK atau Ketua Kampung, kerana kontraktor tiada kuasa mewakili jabatan atau agensi kerajaan berkenaan, seperti yang pernah berlaku di sebuah kampung melibatkan pembinaan jambatan gantung kedua selepas jambatan pertama diluluskan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

“Pegawai berkenaan kena turun padang, bertemu dan berbincang dengan pemimpin serta orang kampung, mencari jalan penyelesai­an terbaik menangani masalah yang dihadapi rakyat,” tambahnya.

 ?? ?? TINJAU: Sani (tengah) ketika meninjau keadaan jambatan konkrit yang runtuh.
TINJAU: Sani (tengah) ketika meninjau keadaan jambatan konkrit yang runtuh.
 ?? ?? MUSNAH: Keadaan jambatan konkrit Kg. Mendulong yang musnah.
MUSNAH: Keadaan jambatan konkrit Kg. Mendulong yang musnah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia