Utusan Borneo (Sabah)

Penunggang motosikal maut rempuh dua kenderaan

- Oleh Vivi Olviana Najurus

RANAU: Seorang penunggang motosikal maut selepas merempuh dua kenderaan di Kilometer 12 Jalan Ranau-Tamparuli, di sini kelmarin.

Kejadian jam 11.50 pagi itu dipercayai berlaku selepas mangsa menunggang motosikal secara melulu sebelum terbabas lalu merempuh kenderaan terbabit.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superinten­dan Simiun Lomudin berkata mangsa berumur 20-an itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai bergerak secara melulu dari arah sebuah penginapan terkemuka menuju ke arah Pekan Kundasang.

“Sebaik sampai di jalan selekoh berkenaan, mangsa dipercayai terbabas masuk ke laluan bertentang­an sebelum bertembung dengan kenderaan yang bergerak dari arah depan,” katanya.

Menurutnya, impak kejadian menyebabka­n mangsa terpelanti­ng ke tengah jalan selepas bertembung dengan dua kenderaan termasuk sebuah pacuan empat roda dan mengalami kecederaan parah.

“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Ranau untuk rawatan susulan bagaimanap­un disahkan meninggal dunia pada jam 1.50 petang.

“Penunggang motosikal tidak disyaki mabuk namun darah akan diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisis alkohol dan dadah dalam darah,” katanya.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987.

“Kita minta mana-mana saksi kejadian untuk menghubung­i Pegawai Penyiasat kes Inspektor Syaurin Suhurani di talian 088-875222 sambungan 280 bagi membantu siasatan kes,” katanya.

Beliau juga menasihatk­an pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati semasa memandu dan mematuhi peraturan-peraturan lalu lintas.

“Elakkan daripada memandu secara berbahaya dan melulu supaya kemalangan jalan raya dapat dielakkan.

“Ingatlah orang yang tersayang dan bersama-sama kita menjaga keselamata­n di atas jalan raya.

“PDRM Ranau mengucapka­n ribuan terima kasih kepada orang awam yang tampil menyalurka­n maklumat berkaitan pesalah lalu lintas,” katanya.

 ?? ?? MAUT: Keadaan kemalangan di lokasi selepas kejadian.
MAUT: Keadaan kemalangan di lokasi selepas kejadian.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia