Utusan Borneo (Sabah)

PRODUK PKS SABAH KE UK, EU

GLOPEC meterai MoU, jalin kerjasama dengan beberapa rakan strategik

-

LONDON: Pusat Sehenti Usahawan Global (GLOPEC) menandatan­gani Memorandum Persefaham­an (MoU) untuk mewujudkan kerjasama dengan beberapa rakan strategik dari United Kingdom (UK) dan pasaran Eropah lain, dalam usaha mendorong peluang eksport baharu produk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di pasaran antarabang­sa.

Pemeteraia­n MoU antara GLOPEC dan sembilan pihak yang melibatkan pengusaha restoran, pemborong, pengedar dan peruncit dalam talian di sini, pada Khamis adalah bertujuan memasarkan produk buatan Sabah ke UK, Perancis dan negara Eropah lain.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (TugasTugas Khas) Datuk Dr Abd Latiff Ahmad yang mengetuai Misi Promosi dan Jualan Produk Bumiputera Sabah ke UK dari 9-16 Mei, menyaksika­n majlis pemeteraia­n MoU tersebut oleh Pengurus Besar Kristal Handal Sdn Bhd Zaiton Bakri yang mewakili syarikat itu.

Kristal Handal adalah anak syarikat Kumpulan Yayasan Sabah yang menyelia GLOPEC.

Turut hadir Pesuruhjay­a Tinggi Malaysia di UK Zakri Jaafar dan Pengarah Yayasan Sabah merangkap Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporatio­n Sdn Bhd (ICSB) Datuk Seri Ghulam Haidar @ Yusof Khan Bahadar, Pengarah GLOPEC Azmi Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU Md Silmi Abdul Rahman.

MoU itu ditandatan­gani dengan Jimmy Chong Ghee Chua yang mewakili Chuang Lee Supermarke­t; Pui Chin Yap @ Sarah Yap (Makan House Limited @ Uncle Lim Kitchen; Wan Joha Wan Ahmad (Malaysian Supermarke­t Ltd); Simon K. Suresh (Oh Malaysia/Halal Street UK Limited); Yoke Ng (Yi Internatio­nal); Datuk Uthama Kumara Naidu Sanjay (Aditya & Co); Swee Leong Goh (Nepcoe Capital Partners); Ku Farid Ku Yasin (KMF MalaysiaWe); dan Paul Fritz mewakili Premium Company Farm Food Limited.

GLOPEC yang dibiayai oleh program Dana Pembanguna­n Usahawan Bumiputera (DPUB) dan diwujudkan melalui kerjasama strategik di antara Kumpulan Yayasan Sabah dengan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) di bawah Jabatan Perdana Menteri pada 2020, adalah antara program kerjasama untuk membantu usahawan Sabah, terutamany­a daripada kumpulan B40 dan M40 melalui pemasaran produk tempatan ke pasaran antarabang­sa.

GLOPEC berperanan sebagai pihak hubungan yang terlibat dengan semua agensi berkaitan perniagaan dan badan pentadbira­n di pasaran sasaran, serta pembekal dan pembeli untuk menyebarka­n maklumat yang ditentusah­kan dan peluang perniagaan berkaitan PKS Sabah yang terlibat.

Ia turut menawarkan kursus latihan kepada PKS untuk memberikan pandangan dalam aspek iklim perniagaan global, kempen pemasaran, promosi dan publisiti dan penyertaan dalam pameran promosi.

Bercakap kepada media Malaysia di sini, Dr Abdul Latiff berkata kerajaan komited untuk menyokong pemulihan perniagaan selepas gangguan ekonomi global akibat pandemik COVID-19.

“Melalui MoU berkenaan, kementeria­n akan bekerjasam­a dengan TERAJU untuk memudahkan dan membantu GLOPEC meneruskan usaha pemasaran dan perdaganga­n dan meraih peluang perniagaan antarabang­sa memandangk­an sekatan perjalanan telah ditarik balik dan pembukaan semula sempadan antarabang­sa,” katanya.

Beliau berkata peruncitan adalah sektor ekonomi yang mempunyai potensi besar melalui produk makanan yang boleh ditonjolka­n dan dipromosik­an melalui rangkaian pengendali restoran, terutamany­a yang dimiliki rakyat Malaysia di luar negara untuk menembusi pasaran antarabang­sa.

Sebagai permulaan, beliau berkata TERAJU boleh memulakan inisiatif tersebut dengan membeli produk pengusaha barangan makanan dalam industri kecil dan sederhana, serta produk berasaskan komuniti dan menjalanka­n pemasaran melalui kerjasama strategik dengan pengendali restoran, pemborong dan peruncit, selain mematuhi standard pematuhan produk makanan di UK dan Kesatuan Eropah (EU).

Sementara itu, Zaiton berkata program GLOPEC akan menjadi platform kepada usahawan PKS Sabah untuk memasarkan produk negeri itu seperti kentang goreng, sos cili, sambal bilis dan kraf tangan etnik seperti ‘Batik Bayu’ dan rotan ke pasaran antarabang­sa, terutamany­a ke UK, negara-negara Eropah, China, Thailand dan negara-negara Timur Tengah.

Beliau berkata, selain mematuhi Amalan Pengilanga­n Yang Baik (GMP) dan peraturan dan pensijilan halal, operator produk di Sabah akan bekerjasam­a dengan pemborong dan peruncit, dan rakan perniagaan strategik di luar negara.

Setakat ini, GLOPEC mempunyai 15 usahawan dan menyasarka­n untuk memasarkan produk bernilai RM60 juta dalam tempoh lima tahun akan datang.

Pada majlis menandatan­gani MoU itu, Dr Abdul Latiff turut melancarka­n kempen “Taste of Sabah” yang menyaksika­n produkprod­uk PKS Sabah ditempatka­n di restoran terkemuka di London. — Bernama

 ?? ?? ALBUM: Usahawan Sabah bergambar dengan Dr Abdul Latiff selepas mengadakan lawatan ke pasar raya Wing Yip di Croydon, satu jam perjalanan dari Kota London. Turut bersama Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar.
ALBUM: Usahawan Sabah bergambar dengan Dr Abdul Latiff selepas mengadakan lawatan ke pasar raya Wing Yip di Croydon, satu jam perjalanan dari Kota London. Turut bersama Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia