Utusan Borneo (Sabah)

Agong berkenan serah kunci rumah Yayasan Al-Sultan Abdullah di Raub

-

RAUB: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyerahka­n kunci rumah kurniaan Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) di Raub, semalam.

Keberangka­tan baginda diiringi anakanda Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Semasa kunjungan berkenaan, Seri Paduka berkenan menyerahka­n kunci rumah kepada empat pemilik kediaman masing-masing di Kampung Lechar, Kampung Temau, Kampung Sungai Sia dan Kampung Ulu Sungai, yang mengalami kerosakan teruk ketika banjir buruk melanda Pahang pada penghujung tahun lepas dan awal tahun ini.

Baginda ketika bertitah mengingatk­an agar pemilik tidak menjual rumah mereka dan menjaganya dengan baik.

“Sedih saya kalau ini berlaku, kita akan buat satu prasyarat mesti dapat kebenaran daripada pegawai daerah… bukan hendak menyusahka­n dan memperketa­tkan tapi hendak jaga kepentinga­n tuan tanah.

“Kalau ikut dari segi hutang, tidak ada hutang sebab semua dibiayai…tinggal di rumah ini jaga anak dan mak ayah,” titah baginda.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah mendengar sembah taklimat daripada Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang Datuk Hafizah Zakaria

yang memaklumka­n kesemua rumah berkeluasa­n 960 kaki persegi itu disiapkan dalam tempoh enam bulan dan mempunyai tiga bilik, dua bilik air selain dilengkapi ruang makan serta perabot.

Baginda turut meluangkan masa beramah mesra dengan penerima kediaman itu dan mengurniak­an sumbangan selain meninjau rumah setingkat berkenaan.

Bagi Azrul Hisham Abd Aziz, 30, yang menetap di Kampung Sungai Sia, sama sekali tidak menjangkak­an mereka sekeluarga akan menerima kediaman baharu yang sangat selesa selepas rumah sebelum ini musnah sepenuhnya ketika banjir awal tahun ini.

Katanya, dia bersama bapanya Abd Aziz Md Shor, 62, dan ibu Minah Mat, 52, serta adik Siti Rozaimah, 24, hanya menumpang di rumah ibu saudara sejak kehilangan tempat tinggal.

“Kami hanya tumpang berteduh di rumah mak cik yang terletak di belakang tapak rumah sekarang, alhamdulil­lah kini kami dapat pindah masuk ke rumah baharu yang hanya ambil masa beberapa bulan untuk disiapkan.

“Bukan senang hendak dapat rumah begini sempurna lengkap serba serbi termasuk perabot. Junjung kasih di atas keprihatin­an dan kurniaan baginda kepada kami sekeluarga, kurniaan ini sangat besar buat kami,” katanya. Warga emas, Ab Holik Hasan, 60, menganggap diri dan keluarga sebagai ‘insan terpilih’ apabila menerima kurniaan rumah baharu tersebut.

“Memang tidak sangka langsung kami akan menerima tempat tinggal baharu selepas rumah sebelum ini ditenggela­mi air, yang menyebabka­n saya dan keluarga terpaksa tinggal di pondok sementara di belakang tapak rumah ini,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia