Utusan Borneo (Sabah)

Pengundian pemilihan PKR 2022 buka tirai semalam

-

KUALA LUMPUR: Pemilihan PKR 2022 membuka tirainya semalam yang menyaksika­n seramai 11,282 calon merebut pelbagai jawatan di peringkat pusat, cabang dan sayapnya.

Pengerusi Jawatankua­sa Pemilihan Parti (JPP) Dr Zaliha Mustafa berkata, proses pengundian secara fizikal bermula secara rasmi di Kelantan dan Terengggan­u semalam manakala di Kedah dan Johor pada hari ini.

“Ahli parti di Pahang dan Wilayah Persekutua­n akan mengundi secara fizikal pada Ahad ini diikuti Perlis, Pulau Pinang, Melaka dan Negeri Sembilan pada 16 Mei manakala Selangor pada 21 Mei.

“Perak, Sabah dan Sarawak pula akan mengadakan pengundian fizikal pada 22 Mei,” katanya kepada Bernama semalam.

Beliau turut memaklumka­n pengundian secara dalam talian bagi ahli parti luar negara akan diadakan pada 17 Mei dan pengundian secara dalam talian bagi ahli parti selebihnya akan diadakan dari 18 hingga 20 Mei ini melalui aplikasi ADIL yang diperkenal pada 28 Februari lepas.

Tumpuan pemilihan PKR yang diadakan secara hibrid buat julung kali ini terarah kepada jawatan nombor dua parti itu apabila Setiausaha Agungnya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan bekas naib presiden dilantik Rafizi Ramli berebut bagi jawatan Timbalan Presiden PKR.

Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertaha­nkan kerusi Presiden PKR bagi tempoh 2022-2025 apabila menang tanpa bertanding jawatan itu.

Turut mencuri tumpuan pada pemilihan kali ini adalah empat jawatan Naib Presiden PKR yang menyaksika­n 17 calon menawarkan diri bertanding termasuk Menteri Besar Selangor yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan PKR negeri Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan PKR negeri Datuk Seri Aminuddin Harun.

Turut menawarkan diri bagi merebut jawatan berkenaan adalah penyandang Chang Lih Kang, Pengarah Komunikasi PKR yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil dan Ketua Wanita PKR yang juga Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh.

Ketua Setiausaha Pengelola PKR yang juga Ahli Parlimen Setiawangs­a Nik Nazmi Nik Ahmad, bekas Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, bekas Timbalan Pengerusi PKR Perak M.A Tinagaran, bekas Ahli Parlimen Kapar G.Manivannan dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sentosa Dr G.Gunaraj juga akan bersaing bagi jawatan Naib Presiden PKR.

Pengumuman rasmi calon yang memenangi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) meliputi jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden akan diumumkan pada 26 Jun depan pada Kongres Nasional Tahunan Keadilan, manakala bagi ketua wanita dan ketua AMK akan diumumkan pada 24 Jun, pada kongres tahunan masingmasi­ng.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia