Utusan Borneo (Sabah)

Pastikan identiti asal Pesta Kaamatan dipelihara

- Oleh Kenneddy Corlleus

KLANG: Masyarakat khususnya Kadazan Dusun Murut, dan Rungus (KDMR) perlu memelihara identiti sambutan Pesta Kaamatan yang juga perayaan turuntemur­un nenek moyang.

Pengerusi Induk Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2022 Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata, sambutan berkenaan adalah adat resam serta identiti yang diturunkan kepada generasi sekarang.

“Justeru, saya merasakan pemelihara­an Pesta Kaamatan ini amat penting bagi memastikan identiti kita tidak hilang ditelan zaman.

“Penganjura­n Pesta Kaamatan tahun ini juga yang kedua kali diadakan sejak negara dilanda pandemik COVID-19 dan ia masih memikul tanggungja­wab besar bagi memastikan perayaan ini dianjurkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamata­n Negara (MKN) dan Kementeria­n Kesihatan Malaysia (KKM).

“Selain itu, Pesta Kaamatan tahun ini juga akan tetap dibuat secara hibrid iaitu melalui fizikal dan secara dalam talian,” katanya ketika berucap merasmikan Pesta Kaamatan KDCA Klang Valley di Hotel Impiana dekat sini baru-baru ini.

Beliau berkata, kerajaan memutuskan untuk negara beralih kepada fasa endemik. Justeru, beberapa aktiviti termasuk perayaan Pesta Kaamatan dibenarkan dengan kapasiti tertentu.

Timbalan Ketua Menteri dan Ahli Parlimen Keningau ini berkata, selaras dengan tema Pesta Kaamatan pada tahun ini iaitu Kaamatan Menjiwai Alam Semulajadi, adalah bertepatan dengan usaha kerajaan untuk memberikan kesedaran untuk rakyat mencintai alam semula jadi.

Menurutnya, usaha itu juga bagi membendung fenomena perubahan cuaca dan alam seperti banjir kilat yang tidak menentu kerana ekosistem alam semula jadi mengalami kemerosota­n keseimbang­an.

“Seiring dengan kemajuan teknologi dan peningkata­n tahap kualiti hidup dan pekerjaan, Pesta Kaamatan ini juga menjurus kepada rasa syukur kepada pencapaian diri dari segi pekerjaan, perniagaan dan apa jua bidang yang diceburi.

“Semestinya setiap hasil tuaian atau apa jua bentuk usaha pada zaman ini memerlukan pengorbana­n seperti nilai unggul daripada pengorbana­n Huminodun.

“Setiap aktiviti yang dilaksanak­an sepanjang bulan Mei bagi meraikan Pesta Kaamatan adalah bagi merayakan adat resam yang penuh dengan keunikan,” katanya.

Beliau berkata, melalui pelaksanaa­n aktiviti-aktiviti berkenaan, ia bukan saja dapat memperagak­an adat resam dan budaya kepada generasi yang akan datang tetapi juga kepada seluruh dunia.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia