Utusan Borneo (Sabah)

Kemarau: Bomba siap siaga hadapi risiko kebakaran

-

KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sentiasa siap siaga menghadapi risiko kebakaran ketika negara menempuh musim kemarau susulan fenomena monsun barat daya ketika ini.

Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad berkata pihaknya telah bersedia dengan kelengkapa­n jentera yang berupaya membawa kapasiti air sehingga 20,000 liter bagi memadam kebakaran.

“Kebanyakan kebakaran berlaku ketika ini di kawasan bukan penempatan yang tiada pili bomba, justeru kami juga bersedia dengan modul pam utama yang boleh pam air dengan lebih besar.

“JBPM juga memanfaatk­an teknologi bagi mengesan lokasi kebakaran dengan lebih mudah dan cepat iaitu melalui bantuan imej satelit dan dron,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual pada program Selamat Pagi Malaysia bertajuk ‘Siap siaga hadapi musim kemarau’ yang disiarkan secara langsung menerusi Radio Teleisyen Malaysia 1 (RTM 1), semalam.

Selain itu Nor Hisham berkata JBPM turut bekerjasam­a dengan pelbagai agensi lain seperti Jabatan Alam Sekitar, Agensi Pengurusan Bencana Negara dan Jabatan Pengaliran dan Saliran.

“Apabila berlaku kebakaran, orang ramai akan fikir hanya bomba. Kita lupa bahawa setiap strategi yang dibuat tidak boleh berdiri sendiri dan JBPM perlu kerjasama dengan agensi lain,” katanya.

Beliau berkata JBPM turut menggerakk­an 345 pasukan bomba sukarela melibatkan 14,000 anggota untuk untuk menjadi mata dan telinga pasukan di lapangan dalam melaporkan kejadian kebakaran dan menasihati orang awam selain memadam kebakaran.

“Selain itu, program Bomba Komuniti turut dilaksanak­an dengan lebih 2,400 pasukan di seluruh negara bagi menangani isu kebakaran sampah di kawasan berhampira­n bandar, sub-bandar dan di bandar,” katanya.

Beliau berkata JBPM memerlukan lebih banyak mata dan telinga dalam kalangan orang awam bagi melaporkan kejadian kebakaran di kawasan setempat dengan segera selain menjadi sumber awal bagi bertindak di lapangan sebelum pihaknya tiba di lokasi kebakaran.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia