Utusan Borneo (Sabah)

Melaka berpotensi jadi pusat penyelidik­an budaya dan warisan serantau: Datuk Bandar

-

MELAKA: Melaka mempunyai potensi untuk menjadi pusat penyelidik­an budaya dan warisan di Asia Tenggara dengan mengumpulk­an pakar-pakar dalam bidang tersebut, kata Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Zainal Abu.

Beliau berkata Melaka perlu menubuhkan pusat penyelidik­an warisan budaya ini sebagai platform untuk menjadi sebuah bandar tarikan budaya terancang peringkat antarabang­sa.

“Dari segi pendekatan pemelihara­an dan pemulihara­an, kami merasakan cadangan untuk mewujudkan pusat penyelidik­an warisan budaya adalah wajar.

“Jika ia di Melaka, tidak perlu menubuhkan lagi (pusat penyelidik­an warisan budaya) di Pulau Pinang. Jadi kita boleh berpusat di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Kerjasama Bandar dan Serantau Antarabang­sa (IURC) Bandar Melaka - Nouvi Circindari­o Imolese (NCI) Bologna di sebuah hotel di sini semalam.

Turut hadir Datuk Bandar Imola dan Presiden NCI Marco Panieri, Timbalan Datuk Bandar Bandar Metropolit­an Bologna Gabriele Meluzzi dan Ketua Inovasi Penyelidik­an dan Projek EU Marino Cavalio.

Beliau berkata sempena lawatan tiga hari delegasi Itali itu, pakar-pakar bandar dari Bologna dan Melaka akan mengadakan dialog antara kerajaan, mesyuarat berkaitan dasar, lawatan ke tapak serta perbincang­an mengenai pelaksanaa­n kolaborasi 2022 hingga 2023.

“Kami juga akan bertukar-tukar pengetahua­n dan penyelesai­an inovatif serta bertemu rakan teknikal untuk melaksanak­an projek di tapak,” katanya.

Beliau berkata pertukaran pengetahua­n dan kepakaran itu penting memandangk­an Melaka mempunyai banyak warisan yang perlu dipelihara.

“Melaka sebuah bandar kecil dan tidak mempunyai bilangan warisan sebanyak di Itali, tetapi jumlah yang kecil inilah yang mesti kita pelihara,” katanya.

Beliau berkata selain pelanconga­n, MBMB turut menyasarka­n untuk menjadikan bandar tersebut lebih berdaya tahan dan inklusif, selain mengurus sendiri sumber aslinya secara mampan, mempromosi inisiatif gas karbon rendah dan meningkatk­an kualiti hidup pendudukny­a.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia