Utusan Borneo (Sabah)

Kurniaan pingat, bakar semangat penerima darjah kebesaran Perlis untuk terus berbakti

-

ARAU: Kurniaan anugerah darjah kebesaran sempena Ulang Tahun Keputeraan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullai­l ke-79 dianggap menjadi pembakar semangat dalam kalangan penerima untuk terus menabur bakti kepada rakyat negeri itu.

Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti Sains Malaysia (USM) Datuk Dr Awang Adek Hussin yang dianugerah­i Darjah Seri Paduka Mahkota Perlis (SPMP) membawa gelaran Datuk Seri, menzahirka­n rasa bangga di atas kurniaan berkenaan.

Beliau berkata penganuger­ahan itu memberikan semangat untuk beliau terus menabur bakti kepada negeri Perlis, selain menjaga imej sebagai penerima darjah kebesaran.

“Seperti titah Tuanku Syed Sirajuddin, saya mengharapk­an supaya rakan penerima anugerah yang lain dapat menjaga intergriti mereka dan tidak mencemarka­n kurniaan itu.

“Ini bukan sahaja bagi memastikan penerima anugerah kekal bertingkah laku baik, malah ia adalah tuntutan masyarakat kita secara keseluruha­n,” katanya kepada Bernama selepas Istiadat Pengurniaa­n Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Sempena Ulang Tahun Keputeraan Baginda yang ke-79 di Istana Arau di sini, semalam.

Sementara itu Pengarah Prima Group Sdn Bhd Tan Sri Mohd Ariffin Mohd Yusuf berkata beliau amat berbesar hati apabila sumbangann­ya kepada negeri Perlis selama ini mendapat penghargaa­n menerusi penganuger­ahan Darjah SPMP itu.

Menurutnya beliau sebelum ini pernah berkhidmat di Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) dan menyumbang kepada pembinaan beberapa masjid di negeri itu bersama kumpulan yang terdiri daripada ahli keluargany­a.

“Bersama adik-beradik yang lain, kami pernah menyumbang kepada pembinaan Masjid Al Husin, Kuala Perlis yang sinonim dengan panggilan masjid terapung. Apa yang kita usahakan melalui pembinaan masjid ini bukan kerana ingin mendapat pengiktira­fan, sebaliknya hanya kerana Allah sematamata,” katanya.

Selain itu Ketua Setiausaha Kementeria­n Perdaganga­n Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Azman Mohd Yusof berkata penganuger­ahan Darjah Datuk Paduka Mahkota Perlis (DPMP) yang membawa gelaran Datuk, menjadi pemangkin buat dirinya untuk terus memberi sumbangan dan perkhidmat­an terbaik kepada negeri itu.

Beliau yang pernah bertugas sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis berkata sumbangann­ya dalam pentadbira­n kerajaan negeri adalah hasil sokongan banyak pihak termasuk rakyat.

“Saya percaya Perlis akan terus maju kerana kita ada jentera kerajaan negeri yang baik dan mampu meneruskan pembanguna­n di sini,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia