Utusan Borneo (Sabah)

KASA sasar sumbangan RM1 juta melalui Kempen Wakaf Masjid Hijau tahun ini

-

KUALA LUMPUR: Kementeria­n Alam Sekitar dan Air (KASA) menyasarka­n sumbangan sebanyak RM1 juta daripada orang awam menerusi Kempen Wakaf Masjid Hijau tahun ini, kata Timbalan Menterinya Datuk Mansor Othman.

Beliau berkata sumbangan berkenaan bagi membantu pihak pengurusan masjid mengakses sumber pembiayaan alternatif yang mudah, cepat dan mapan untuk membiayai projek teknologi hijau.

“Inisiatif ini berkonsepk­an dana awam dengan sumbangan dana diperoleh daripada individu, sektor kerajaan, sektor korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang disalurkan kepada masjid,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Kit Rumah Ibadat Hijau (RIH) dan pelancaran Kempen Wakaf Masjid Hijau di Masjid Zaid Haritsah, Gombak, semalam.

Kempen Waqaf Masjid Hijau itu adalah lanjutan daripada inisiatif RIH sejak 2020 yang diusahakan bersama agensi kementeria­n itu Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) dan Yayasan Waqaf Malaysia.

Beliau berkata inisiatif RIH adalah untuk menjadikan rumah ibadat sebagai pusat pemangkin kelestaria­n alam sekitar dalam memupuk budaya gaya hidup hijau dalam kalangan ahli kariah, selain menjadikan bangunan komuniti itu yang cekap tenaga, cekap air, mesra alam dan rendah karbon di kawasan setempat.

Selain Masjid Zaid Haritsah, kit RIH turut diserahkan kepada tujuh masjid angkat KASA dan agensi di bawahnya, antaranya Masjid Selayang Baru di Selayang, Selangor; Masjid Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, Kelantan; Masjid Jamek Ara Kuda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu.

Sebagai perintis, beliau berkata MGTC telah menyiapkan laporan audit awal lapan masjid tersebut dan mendapati jumlah penggunaan tenaga tahunan kesemua masjid itu adalah 1.7 juta kilowatt-jam (kWh), manakala penggunaan air sebanyak 85,000 meter padu dan pembebasan karbon pula adalah sebanyak 977 tan karbon dioksida setara.

“Merujuk kepada laporan audit awal, potensi penjimatan tenaga adalah 29 peratus, air 25 peratus dan penguranga­n pembebasan karbon 29 peratus.

“Selain itu, potensi penjimatan kos utiliti kepada pihak masjid dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) adalah RM258,000 bersamaan 29 peratus jika dibandingk­an dengan penanda aras pada 2019,” katanya.

Mansor berkata antara usaha pelestaria­n yang dijalankan masjid berkenaan seperti penukaran lampu jenis Light Emitting Diode (LED), penyaman udara cekap tenaga bertaraf empat dan lima bintang, sistem penuaian air hujan, penukaran pili cekap air dan pemasangan sistem solar.

Beliau berharap usaha mentransfo­rmasikan masjid berkenaan kepada rumah ibadat hijau dapat diteruskan dengan lebih banyak penyertaan rumah ibadat lain pada masa akan datang, selain sokongan daripada orang awam, NGO dan badan korporat menerusi tanggungja­wab sosial korporat (CSR) diperlukan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia