Utusan Borneo (Sabah)

Tuah buka akaun sejak lahir beri peluang tunai haji pada usia muda

-

KOTA BHARU: Tuah membuka akaun simpanan Tabung Haji sejak lahir memberi peluang kepada seorang pemuda dari Kampung Taman Bakti, Pengkalan Chepa, di sini, untuk mengerjaka­n ibadat haji pada usia muda.

Muhammad Iqbal Rosli, 23, berkata beliau tidak pernah sama sekali menyangka usaha ibu Ros Hanizah Hussein, 61, dan bapanya Rosli Hassan, 64, membuka akaun Tabung Haji untuknya ketika beliau lahir kini memberi ‘hasil’.

Katanya, telah menjadi rutin ibu bapanya untuk menyimpan wang yang diperoleh daripada saudara-mara atau kenalan yang menziarahi­nya ketika bayi termasuk duit setiap kali tiba Hari Raya Aidilfitri ke dalam akaun Tabung Haji.

“Sukar untuk digambarka­n dengan kata-kata apabila saya berjaya merebut peluang yang dinanti-nantikan oleh setiap umat Islam ini terutamany­a ketika saya baru berusia 23 tahun.

“Saya akan bertolak untuk menunaikan haji pada 26 Jun ini dan akan pulang ke tanah air pada 7 Ogos depan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Program Lambaian Kaabah di Dewan Haji Nik Abdullah Arshad, Kompleks Purnama di Pengkalan Chepa, di sini kelmarin.

Bercerita lanjut, anak keempat daripada tujuh beradik itu berkata, beliau sebelum ini telah mendapat tawaran untuk menunaikan ibadat itu pada tahun 2012 ketika berusia 14 tahun, namun terpaksa ditolak memandangk­an ketika itu beliau belum cukup umur.

Bagaimanap­un perkara itu tidak mematahkan semangat dan impiannya untuk menyempurn­akan Rukun Islam kelima itu dengan membuat rayuan hampir setiap tahun kepada Tabung Haji selepas beliau berusia 18 tahun.

“Pada hujung tahun lepas saya mendapat surat daripada Tabung Haji memaklumka­n saya ditawarkan untuk menunaikan ibadah haji. Sejak dari itu hampir setiap minggu saya akan mengikuti kelas serta kursus berkaitan ibadat ini untuk memantapka­n ilmu yang ada.

“Alhamdulil­lah, selepas ibu dan bapa saya berpeluang menunaikan ibadat ini pada tahun 2008 kini giliran saya pula untuk mengikuti langkah mereka. Saya juga berdoa adik-beradik saya yang lain juga berpeluang menjadi tetamu Allah pada masa akan datang,” katanya yang bekerja sebagai pembantu kedai batik.

Muhammad Iqbal turut menasihatk­an orang ramai terutama ibu bapa supaya membuka akaun Tabung Haji untuk anak masing-masing sejak kecil bagi memudahkan urusan menunaikan ibadat haji pada masa akan datang.

 ?? — Gambar Bernama ?? BANTUAN: Muhammad Iqbal(kiri) menerima bantuan kewangan daripada Ahmad Marzuk (kanan) sempena Program Lambaian Kaabah di Dewan Haji Nik Abdullah Arshad, Kompleks Purnama di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, semalam.
— Gambar Bernama BANTUAN: Muhammad Iqbal(kiri) menerima bantuan kewangan daripada Ahmad Marzuk (kanan) sempena Program Lambaian Kaabah di Dewan Haji Nik Abdullah Arshad, Kompleks Purnama di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, semalam.
 ?? ?? MUHAMMAD IQBAL ROSLI
MUHAMMAD IQBAL ROSLI

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia