Utusan Borneo (Sabah)

Penemuan penyu: Jabatan Perikanan disaran guna talian 999, WhatsApp

-

KUALA TERENGGANU: Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) disaran agar mempertimb­angkan penggunaan aplikasi WhatsApp atau talian kecemasan 999 untuk memudahkan penyaluran maklumat berkaitan penemuan penyu di negara ini.

Ketua Makmal Penyelidik­an Luar, Institut Oseanograf­i dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Dr Mohd Uzair Rusli berkata penggunaan aplikasi dan nombor kecemasan itu dilihat lebih praktikal untuk digunakan orang awam berbanding talian telefon rasmi yang digunakan DOF ketika ini.

Beliau berkata, bukan semua orang awam jelas bahawa penyu terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Perikanan dan setiap penemuan sama ada mati atau hidup perlu dilaporkan kepada jabatan itu.

“Banyak penemuan penyu hanya dimuat naik dalam media sosial sahaja dan selepas itu, barulah ada tindakan susulan untuk menguruska­n penyu tersebut yang kebiasaann­ya mengambil tempoh masa agak lama

“Jika penyu yang ditemukan orang awam itu masih hidup, setiap detik masa amat berharga dan mampu menyelamat­kan nyawa haiwan terancam tersebut,” katanya dalam kenyataan semalam.

Saranan itu dikemukaka­n Mohd Uzair susulan penemuan tiga bangkai penyu agar dewasa di tiga lokasi berasingan sekitar daerah Kuala Nerus semalam iaitu di Seberang Takir, Pengkalan Maras dan Pulau Redang.

Tambahnya, DOF juga boleh bekerjasam­a dengan pelbagai agensi penyelamat seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia untuk penyaluran maklumat menerusi talian kecemasan 999 itu.

“Ini bermaksud setiap penemuan penyu, orang awam boleh hubungi talian 999 dan maklumat lebih terperinci pula akan dimaklumka­n kepada DOF untuk tindakan lanjut.

“Aplikasi WhatsApp juga boleh digunakan untuk orang awam menghantar gambar, video dan lokasi penemuan penyu dengan lebih pantas dan tepat untuk tindakan menyelamat,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia