Utusan Borneo (Sabah)

Air warna putih dikesan di Sungai Langat, premis kilang diarah henti pelepasan efluen

-

SHAH ALAM: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah mengarahka­n sebuah premis kilang untuk segera menghentik­an pelepasan efluen yang berpotensi mencemarka­n aliran air sungai, serta melaksanak­an kerja pembersiha­n segera agar pencemaran tidak berulang, susulan insiden air berwarna putih yang dikesan di Sungai Langat petang kelmarin.

Pengerusi Jawatankua­sa Tetap Pelanconga­n, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli negeri Hee Loy Sian berkata arahan tersebut, dikeluarka­n LUAS kepada premis tersebut berdasarka­n Seksyen 121 (1) Enakmen LUAS 1999 dan proses pembersiha­n sedang dilakukan oleh pihak kilang tersebut.

Beliau berkata, perkara itu dilakukan susulan maklumat yang diterima LUAS daripada Suruhanjay­a Perkhidmat­an Air Negara (SPAN), berhubung insiden air berwarna putih yang dikesan di Sungai Langat pada jam 3.30 petang kelmarin.

“Siasatan LUAS telah menemukan aliran air sungai berwarna putih dan bau seakan-akan klorin di kawasan Sungai Langat. Hasil siasatan pihak LUAS mendapati punca insiden aliran air berwarna putih adalah disebabkan terdapat pelepasan efluen daripada ‘sump’ milik sebuah premis kilang, yang melepaskan aliran air putih ke sungai tanpa melalui titik pelepasan akhir efluen premis yang ditetapkan,” katanya.

Susulan itu, beliau berkata Kod Kuning selaras dengan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air Negeri Selangor diaktifkan, melibatkan pihak Majlis Perbandara­n Kajang (MPKj) dan Jabatan Alam Sekitar.

“LUAS telah menjalanka­n tiga pensampela­n dan akan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk analisis lanjut, dan LUAS akan membuka kertas siasatan berdasarka­n Seksyen 79 (1) Enakmen LUAS 1999 yang memperuntu­kkan denda minimum RM200,000 dan maksimum RM1 juta dan penjara tidak kurang tiga tahun,” katanya.

Beliau berkata, anggaran jarak lokasi punca pencemaran (premis berkenaan) ke tiga muka sauk terdekat iaitu, LRA Semenyih 2 (18 kilometer (km); LRA Bukit Tampoi (29.5km) dan LRA Labohan Dagang dalam anggaran 40.9km.

“Tindakan pantas kawalan di tapak, telah berjaya mengelakka­n potensi henti tugas LRA. Langkah-langkah mitigasi susulan dan pemantauan rapi dari semasa ke semasa dijalankan oleh LUAS, bersama pihak-pihak terlibat bagi memastikan sumber air Selangor terpelihar­a,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia