Utusan Borneo (Sabah)

Musim tangan panjang di Nusa Utara

- Karya: Awang Abdul Muizz Bin Awang Marusin

“ZURAN tolong bagitahu Syahiran, saya datang pejabatnya hari ini.” Aku melihat Gubernur bersiap-siap dengan kelam-kabut pergi ke Wisma Pertanian. Aku juga ikut kelam-kabut dengan para staf mencari semua dokumen yang Gubernur mahu bahas di sana.

Aku sudah dua tahun menjadi setiausaha peribadi Gubernur Nusa Utara. Aku sudah biasa dengan kesibukan Gubernur dengan para menteri dan setiausaha tetap kementeria­n mengerjaka­n negeri ini sehari-hari.

Tetapi, tidak yang ini. Gubernur kelmarin minta kami periksa gudang-gudang di seluruh negeri.

Zuran periksa semua gudang yang ada di Bandaraya. Aku pula pergi memeriksa di utara. Gubernur juga menghantar Izzat ke Elopura dan Ellya ke Inderasaba­h. Bukan gudang saja yang diredahi, tapi segala pasar dan kedai, hatta ke kolam tasik dan sawah bendang pun kami turuni.

Ramai yang kelmarin dulu marah-marah dengan Gubernur sebab pasar basah sudah tidak lagi basah, pasar kering juga tidak lagi kering.

“Pak, beras di gudang kelmarin saya cek, sudah rosak dimakan tikus. Ayam sudah habis. Ikan pun sudah habis, air laut dan sungai kan masih merah. Daging lembu dan kambing sama gandum sedang ditunggu dari negara tetangga tapi kapalnya kan disamun oleh lanun. Yang tinggal hanya minyak, itu pun bukan minyak paket, tetapi minyak botol.” Kembang kempis dada Gubernur mendengar kata-kata Zuran.

Tangannya mengusap hati, “Patutlah rakyat marah-marah, dengan aku sekali disumpah seranah.”

Belum lagi ditambah itu dengan sawah yang tidak berpadi, gandum yang berhenti tumbuh kerana peperangan dan ladang yang tidak kunjung berkacang, berbuah dan bersayur. Belum juga ditambah ada tanah gambut yang kebakaran yang baru terpadam apinya.

Dewan Undangan juga terbakar oleh api yang membuak-buak dari ruang sidang, yang datangnya dari mulut ahli-ahlinya, baik dari penyokong Pemerintah mahupun dari pembangkan­g. Gubernur nyaris diundi tidak percaya oleh Dewan Undangan. Mujur penyokong Pemerintah masih ada majoriti dalam Dewan Undangan.

Mahkamah juga terbakar oleh api yang membuak-buak di bilik perbicaraa­n, yang datangnya dari orang awam yang menyaman Gubernur. Tetapi penyelesai­an oleh hakim tidak semudah itu.

Gubernur ternyata tidak duduk diam. Bukan sahaja Gubernur menuju ke arah Menteri Syahiran, tetapi juga seluruh jajaran menteri dan setiausaha tetap kementeria­n dipanggil ke Wisma Pertanian.

Kalau Gubernur menuju ke kementeria­n, adalah maksudnya yang amat luar biasa.

Adakah Pak Gubernur mengadakan rapat Kabinet di Wisma Pertanian? Itu aku tidak tahu. Jika ada, Setiausaha Negeri sudah mengkhabar­kan. Tetapi tidak juga.

Aku turutkan saja perjalanan yang macet dari Sekretaria­t Negeri ke Wisma Pertanian sampai ke dalam pejabat menteri. Gubernur sudah marah-marah di ruang kerja Menteri Syahiran, sambil dicampak ke mukanya gambar-gambar gudang yang tidak ubah seperti gua.

“Ada apa, Pak Gubernur? Minggu lepas bekalannya masih banyak. Mustahil putus. Mustahil juga sudah habis.” Syahiran juga sudah marah-marah. Mukanya sudah merah-merah.

“Saya sendiri yang pergi periksa hari itu,” sambil Syahiran minta Setiausaha Pertanian tunjukkan gambar-gambarnya pergi periksa gudang.

Satu jam berperang lidah antara Gubernur dengan Menteri Syahiran,

masih juga tidak jumpa jalan. Kenapa dan bagaimana masih menjadi persoalan. Aku sendiri pun belum jumpa jawapan.

“Pak Gubernur, sabar. Tidak ada masalah yang tidak dapat diselesaik­an,” menteri-menteri yang berada dengan Syahiran cuba menenangka­n rasa tetapi tetap tidak dapat mematikan rasa.

“Apa sabar, sabar? Rakyat sudah kelaparan. Malah ada yang sudah pun menakut-nakutkan sampai lari ke hutan. Ada yang lemas pun di lautan,” suara Gubernur tetap juga meninggi di hadapan menteri-menteri.

Sehingga satu detik, ada yang membisik di telingaku. “Faiz,” itu suara Huzaifah.

“Tolong hubungi Presiden.” Sebetulnya Gubernur tidak meminta itu, tetapi Huzaifah yang sebetulnya mintakan tanpa pernah Gubernur ketahui. Gubernur lalu berada di telefon dengan Presiden.

“Ini bencana negeri, Pak Presiden. Apa saja yang saya dapat buat untuk negeri saya? Rakyat saya sudah kelaparan. Sudah ramai yang tinggalkan rumah, lari ke hutan, terjun ke sungai dan lautan.” Agak tinggi bunyi Pak Gubernur ketika di telefon, berbicara dengan Pak Presiden.

“Bapak berdoa dulu. Tenangtena­ng saja. Apa yang bisa, saya bantu.” Itu pesanan yang Gubernur dapatkan. Gubernur sudah mengeluh kepenatan bersilat kata dengan Syahiran.

Aku sebetulnya mengajak semua datang ke Gedung Negeri, solat hajat dan istisqa berjemaah. Irfan dan Ellya sudah bantu aku mengatur semuanya. Mufti Syahmi dipanggil pimpin solat, baca Yaasin dan doa untuk negeri dan rakyat. Timbalan Mufti Fathi pula dipanggil menyampaik­an tausiyah.

Sekumpulan yang lain sudah berkumpul di Wisma Pertanian bersama Syahiran, seolah-olah ada sesuatu yang Syahiran ingin lakukan bersama kumpulan tersebut. Aku mengikuti mereka senyap-senyap dari belakang sambil melaporkan perkembang­an kumpulan yang diketuai oleh Syahiran.

Empat buah lori Black Maria sudah bersedia diagihkan ke seluruh negeri. Semuanya bergerak sebaik detik berdenting ke jam 12 tengah malam.

Lori-lori Black Maria tidak terus ke gudang yang dituju, tetapi kereta Wagon yang aku sendiri tidak tahu siapa yang punya, juga ada empat buah dan diagihkan ke seluruh negeri.

Aku diberitahu oleh perisik bahawa ada geng besar yang cuba merosakkan rantaian makanan dalam negeri. Modus operandiny­a luar biasa, tidak terbayangk­an oleh mata dan tidak terasakan di jiwa, sehingga ramai penduduk disuruh lari ke hutan kerana akan ada sesuatu yang menimpa.

Geng ini dengan senyap telah membakar sawah dan hutan, menggunaka­n ‘orang dalam’ untuk menghabisk­an isi perut gudang, melibatkan orang tengah dalam memborong bahan mentah untuk dieksport secara haram ke negara jiran, dan menyorok bekalan secara senyap dan dengan kadar yang berlebihan.

Dalam sirna malam menuju dinihari, Syahiran menyorok di dalam gudang dan tidur di atas lantai seolah-olah tiada apa-apa. Gubernur juga telah sudi temankan.

Apabila Syahiran terdengar hentakan kaki yang halus bunyinya, Syahiran terjaga di tengah malam yang gelita. Dia terlihat seseorang sedang masuk dengan senyap ke dalam gudang.

Syahiran langsung membuka lampu suluh di poket untuk melihat siapakah geranganny­a. Rupanya seorang kakitangan Wisma Pertanian berinisial N itulah yang selama ini mengambil kunci gudang sebelum Maghrib, menceroboh gudang waktu malam dan membawa keluar semua bekalan sebelum Subuh, termasuk untuk kegunaan kecemasan. Dialah ketua bagi geng itu.

N tidak bersendiri­an. Dia melakukann­ya bersama sekumpulan kakitangan yang lain dan sekumpulan lagi peniaga yang bertaraf hartawan, yang sudah sering kali hulur jutaan ringgit ke tangan N, yang turut sama panjang tangannya. N mencari duit lebih bagi menampung gaji yang tidak mencukupi walaupun dia pegawai pertanian gred 48.

N ada hasrat untuk meraih projek pertanian bernilai jutaan ringgit di Mempakul, tetapi kontraktor lain yang lebih layak sudah mendapatka­n. Itu juga hasil hulur ke tangan bernilai jutaan.

Kesumat yang tersimpan di celah-celah hati N telah membawa kepada semua episod krisis yang melanda negeri.

“Kamu berkhidmat untuk rakyat tapi apa yang kamu dapat dengan menyeksa rakyat?” Syahiran bertanya dengan suara tinggi kepada ketua geng.

Kesemua lapan orang kakitangan dan peniaga pertanian yang bersubahat menggagalk­an rantaian makanan dalam negeri, termasuk N, berjaya ditahan oleh polis. Gubernur memecat dengan sertamerta semua kakitangan Wisma Pertanian yang terlibat.

Pada malam yang sama, kapal yang mengandung­i bekalan makanan yang diimport dari luar negeri yang selama ini tertahan, akhirnya dapat dilepaskan dan dibawa sampai ke Pelabuhan Bandaraya dengan bantuan Menteri Khairul dan Timbalan Menteri Danish pada siang hari yang berikutnya, bersekali dengan ramai lagi yang telah terjun ke lautan tetapi masih hidup terapungap­ungan lalu diselamatk­an.

Menteri Adlan dan Timbalan Menteri Ilham pula telah masuk ke dalam hutan bersama para anggota tentera untuk menjemput penduduk sekitar untuk kembali ke rumah masing-masing.

Gudang, pasar dan kedai kembali penuh dengan bekalan makanan setelah beberapa hari, walaupun Syahiran dan seluruh kementeria­n mengambil masa bertahun-tahun lamanya untuk kembalikan bekalan makanan yang mencukupi kepada negeri.

Syahiran sudah sakit-sakit kepala bagaimana lagi mahu selamatkan negeri daripada peristiwa hari itu berulang kembali. Rambutnya semakin hari semakin banyak uban walaupun usia belum pun masuk empat puluh.

Tetapi kami semua tidak lama. Syahiran dan Zuran nyaris menjadi Gubernur dan Wakil Gubernur tetapi tidak. Pemerintah­an kemudianny­a bertukar tangan hasil pengundian di pemilihan. Kami menyerahka­n Nusa Utara kepada Pemerintah seterusnya sekadar apa adanya.

Aku, Bang Awang yang hari itu menjabat gubernur dan Syahiran sudah bersara dari politik dan mengabdi di sanggar bahasa, sastera dan budaya di pinggir Bandaraya.

 ?? ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia