Utusan Borneo (Sabah)

MARA rancang perluas kerjasama strategik bidang pengajian baharu pelajar tajaannya

-

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) merancang untuk memperluas­kan kerjasama strategik dengan universiti luar negara dalam bidang baharu bagi pengajian pelajar tajaannya.

Menteri Pembanguna­n Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kerjasama strategik itu melibatkan universiti yang berada di kedudukan terbaik dunia seperti University of Manchester (UoM) United Kingdom (UK) yang berada di kedudukan ke-35 dunia, kelima di UK dan kelapan di Eropah.

“Jumlah keseluruha­n pelajar di universiti ini (UoM) adalah lebih 40,000 dan lebih 25 peratus adalah pelajar dari luar negara termasuk dari Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini kelmarin.

Mahdzir kini berada di UK bagi lawatan kerja rasmi selama tujuh hari bermula Jumaat dan lawatan itu turut disertai Ketua Setiausaha kementeria­n Datuk Ramlan Harun serta Ketua Pengarah MARA Datuk Azhar Abdul Manaf.

Dalam lawatan berkenaan, beliau yang turut melawat UoM, telah mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi universiti itu yang diketuai oleh Naib Presiden Pembelajar­an, Pengajaran dan Hal Ehwal Pelajar, Prof April McMohan.

Pertemuan itu adalah bagi membincang­kan dan bertukar pandangan berkaitan pengajian bidang baharu yang boleh diteroka pelajar tajaan MARA ke UoM.

Mahdzir berkata MARA membuat keputusan tepat dengan memilih UoM sebagai destinasi kepada seramai 229 pelajar tajaannya berdasarka­n faktor kedudukan universiti itu, tenaga pengajarny­a serta persekitar­an kampus yang terbaik selain kemudahan yang disediakan.

Sehingga kini, Mahdzir berkata MARA mempunyai sejumlah 3,391 pelajar tajaannya di luar negara dengan jumlah paling ramai adalah di UK iaitu 1,422 pelajar. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia