Utusan Borneo (Sabah)

IC rakyat Sabah tulen atau IC pendatang asing diutamakan

-

KOTA KINABALU: Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick mempersoal­kan keutamaan kerajaan sama ada mahu mengeluark­an Kad Pengenalan (IC) Sabah digital kepada rakyat tulen terlebih dahulu atau IC digital kepada pendatang asing di Sabah.

Menurut Ewon, kerajaan negeri harus memberi penjelasan kepada rakyat mengenai keutamaan mereka kerana mereka berkempen semasa pilihan raya lepas menggunaka­n isu-isu tersebut.

“Rakan-rakan dalam blok kerajaan banyak bercakap mengenai cadangan mengeluark­an IC Sabah termasuk secara digital. Dalam masa yang sama, mereka juga bercakap mengenai cadangan pemberian kad pengenalan digital kepada pendatang asing di Sabah.

“Rakyat Sabah mesti bertanya, mana satu keutamaan kerajaan negeri. Dalam pemberian kad pengenalan digital ini, adakah rakyat tulen Sabah yang akan diutamakan dahulu atau pendatang asing?” katanya.

Menurut Ewon, cadangan pengeluara­n IC Sabah pernah dibawa ke sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang lepas tetapi jawapan bertulis daripada kerajaan negeri menyatakan ia tidak mempunyai rancangan untuk mengeluark­an IC Sabah.

“Saya bertanya secara bertulis kepada kerajaan negeri sama ada mereka mempunyai cadangan mengeluark­an IC Sabah dan jawapan yang diberikan kepada saya menyatakan tidak ada rancangan sedemikian.

“Kemudian kerajaan mengumumka­n program pendataan pendatang asing di Sabah termasuk cadangan mengeluark­an kad pengenalan secara digital kepada mereka. Ini memberi gambaran mengenai keutamaan yang akan diambil oleh kerajaan,” katanya.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian menyatakan demikian kepada media selepas merasmikan mesyuarat agung tritahunan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Gen-Y UPKO Bahagian Sepanggar di Dewan Kampung Bantayan di sini, semalam.

Baru-baru ini, Ewon menempelak pimpinan kerajaan kerana sebelum ini berkempen mahu menghantar semula ‘kumpit-kumpit’ balik ke negara asal tetapi sebaliknya memperbaha­rui cadangan kerajaan terdahulu untuk memberi dokumen pengenalan kepada pendatang asing di Sabah.

Ewon turut menggesa kerajaan negeri agar memberi penjelasan di sidang DUN akan datang berkenaan program pendataan pendatang asing terutamany­a cadangan pemberian dokumen pengenalan kepada mereka.

“Sama ada ia dipanggil kad atau pas, sama ada ia secara digital atau sekeping kad, saya menggesa kerajaan negeri agar memberi penjelasan di sidang DUN agar ia dibahas oleh ADUN-ADUN,” katanya.

“Kempen mereka sebelum ini dan apa yang mereka mahu laksanakan sekarang umpama menjilat ludah sendiri,” katanya.*

 ?? ?? KENANGAN: Ewon bersama para Pergerakan Wanita, Pemuda dan Gen-Y UPKO Bahagian Sepanggar merakamkan gambar kenangan.
KENANGAN: Ewon bersama para Pergerakan Wanita, Pemuda dan Gen-Y UPKO Bahagian Sepanggar merakamkan gambar kenangan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia