Utusan Borneo (Sabah)

Wanita mengandung terjun sungai cuba bunuh diri

- Oleh Siti Aisyah Narudin

KENINGAU: Seorang wanita warga asing dipercayai mengandung sempat diselamatk­an selepas terjun ke sungai di jambatan Kampung Ansip di sini semalam.

Mangsa yang berumur 45 tahun itu disyaki cuba membunuh diri dengan bertindak terjun ke sungai terbabit.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau menerima panggilan kecemasan berhubung kes berkenaan pada jam 8.14 pagi.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan di kawasan pesisiran sungai terbabit bersama penduduk kampung.

“Mangsa ditemukan dalam keadaan selamat oleh orang awam di tepi sungai pada jarak sekitar 1.2 kilometer dari lokasi asal mangsa dilaporkan terjun.

“Pasukan keselamata­n seterusnya memberikan rawatan kecemasan kepada mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Pihak bomba menamatkan operasi pada jam 10.14 pagi selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia