Utusan Borneo (Sabah)

RUU Anti Lompat Parti: Pemimpin PH akan bertemu PM

-

KUALA LUMPUR: Pimpinan utama Pakatan Harapan (PH) akan mengadakan pertemuan segera dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi membincang­kan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti dan tiga perkara berkaitan memorandum persefaham­an (MoU) antara PH dan kerajaan Persekutan.

Majlis Presiden PH dalam kenyataann­ya semalam berkata PH berharap Rang Undang-Undang tersebut akan dapat dibentang, dibahas dan diluluskan pada minggu pertama sidang Dewan Rakyat yang bermula 18 Julai ini.

“Dengan meluluskan Rang Undang-undang ini maka 15 dari 18 Perkara dalam MoU di antara PH dan kerajaan Persekutua­n akan tercapai bersamaan dengan 83 peratus,” katanya.

Menurut kenyataan itu tiga perkara MoU yang masih perlu dilaksana adalah menetapkan had dua penggal atau 10 tahun bagi Perdana Menteri, membentang Rang Undang-undang Perkhidmat­an Parlimen dan meminda

Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Menurut kenyataan itu, Majlis Presiden PH kecewa atas kegagalan kerajaan memanggil sidang khas Dewan Rakyat khusus untuk membentang Rang Undang-undang Anti Lompat Parti seperti yang telah dimaklumka­n sebelum ini.

Kenyataan Majlis Presiden PH berkenaan dikeluarka­n secara bersama oleh Ketua Pembangkan­g Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Loke

Siew Fook dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Madius Tangau.

Baru-baru ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata tiada keperluan untuk kerajaan mengadakan Mesyuarat Khas Parlimen bagi membentang dan membahaska­n Rang Undang-Undang Perlembaga­an (Pindaan) (No. 3) 2022 berkaitan peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia