Utusan Borneo (Sabah)

MARA Corp: SPRM kemuka cadangan kepada Jabatan Peguam Negara untuk pertuduhan

-

PUTRAJAYA: Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyiasat dan mengemukak­an pandangan kepada Jabatan Peguam Negara untuk melakukan pertuduhan berhubung kes integriti dan salah guna kuasa membabitka­n MARA Corporatio­n (MARA Corp).

Ketua Pesuruhjay­a SPRM Tan Sri Azam Baki berkata SPRM telah menghantar kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara berhubung kes itu untuk dikaji dan telah mencadangk­an nama beberapa pihak untuk dituduh.

Mengulas laporan portal media yang mendakwa Jabatan Peguam Negara yang sepatutnya mendakwa tiga pegawai Mara Corp ‘bakal’ menggugurk­an kes terhadap mereka, Azam berkata setakat ini tiada sebarang pemakluman daripada Jabatan Peguam Negara yang mengatakan kes tersebut tidak akan dituduh.

“Pendirian kami, kita telah siasat dan pandangan kami ada keterangan memadai dan mencukupi untuk mencadangk­an beberapa pertuduhan kepada beberapa pihak,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Media SPRM 2021 di Ibu Pejabat SPRM di sini semalam.

“Saya setakat ini tidak mahu komen yang mengatakan kes ini tidak dituduh,” tambahnya.

Isu salah guna kuasa dan salah urus MARA Corp didedahkan media sosial yang turut melampirka­n enam halaman surat berhubung isu integriti pegawai agensi berkenaan.

Lima pegawai agensi itu yang dikaitkan dengan dakwaan terbabit telah membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi di Kuala Lumpur bagi menafikan terbabit dengan perbuatan seperti didakwa.

Pada 5 Februari lepas, SPRM mengesahka­n menerima satu laporan berhubung dakwaan isu integriti melibatkan beberapa pegawai kanan MARA yang sedang disiasat secara dalaman oleh agensi itu.

SPRM pada 7 Februari lepas turut menyerbu dan merampas beberapa dokumen daripada MARA, MARA Corp dan sebuah syarikat setiausaha korporat.

Terdahulu, Azam dalam ucapannya berkata sejumlah 292 kes daripada 1,283 kes perbicaraa­n rasuah yang dikendalik­an di Mahkamah Sesyen di seluruh negara pada 2021 telah selesai dibicaraka­n.

Daripada jumlah itu, katanya sebanyak 266 kes atau 91.1 peratus berakhir dengan sabitan.

Selain itu, katanya sebanyak 152 kes pelucuthak­an harta dikendalik­an di mahkamah dengan sejumlah 121 kes telah selesai dengan 117 kes atau 96.7 peratus memihak kepada pendakwa raya manakala empat kes atau 2.2 peratus lagi tidak memihak. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia