USTA: Pemain Rusia, Belarus dibenarkan bertanding dalam Terbuka AS
NEW YORK: Pemain tenis dari Rusia dan Belarus akan dibenarkan untuk bertanding di kejohanan tenis Grand Slam Terbuka Amerika (AS) di bawah bendera berkecuali, menurut Persatuan Tenis AS (USTA) pada Selasa.
“USTA akan membenarkan semua pemain yang layak, tidak kira kerakyatan, untuk bertanding di Terbuka AS 2022,” kata penganjur kejohanan dalam satu kenyataan.
Langkah itu dibuat selepas badan induk sukan tenis lelaki dan wanita (ATP dan WTA), menggugurkan Wimbledon dari kejohanan dengan mata ranking selepas kejohanan Grand Slam di permukaan rumput itu menggantung penyertaan pemain dari Rusia dan Belarus.
Bekas pemain dari Ukraine, Sergiy Stakhovsky dengan pantas mengutuk keputusan Terbuka AS.
“Anda tidak dapat meletakkan tanda harga untuk dapat hidup dengan diri anda sendiri,” ciap Stakhovsky, yang bersara dari sukan tenis awal tahun ini dan menyertai pasukan simpanan Ukraine untuk bertempur di Kyiv.
“Saya menghormati Wimbledon, satu-satu entiti yang mempunyai kod moral.”
Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF), ATP dan WTA mengutuk pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, yang disokong oleh Belarus.
Mereka menggantung dua negara ini dari pertandingan berpasukan antarabangsa dan mengeluarkan arahan bahawa pemain dari negara ini bertanding di bawah bendera berkecuali dalam pertandingan lain.
“USTA akan bekerja dengan pemain dan kedua-dua Jelajah (ATP/WTA) untuk menggunakan Terbuka AS sebagai landasan untuk meneruskan usaha kemanusiaan dari program ‘Tenis Bermain untuk Keamanan’.”
USTA juga berkata ia memperkenalkan inisiatif untuk membantu usaha berterusan kemanusiaan Ukraine.
“Malanngnya, keperluan untuk membantu hanya akan berterusan,” kata presiden USTA, Mike McNutty.
“USTA akan memberi respons dalam masa yang cepat dengan satu cadangan inisiatif yang termasuk bantuan kewangan dan program lain untuk meneruskan sokongan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Ukraine.”
Penggantungan oleh Wimbledon menyebabkan beberapa pemain ternama termasuk pemain nombor satu dunia, Daniil Medvedev dan juga pemain wanita, Aryna Sabalenka dan Victoria A zarenka tidak dapat beraksi.