Utusan Borneo (Sabah)

16,689 pelajar lulus, 253 cemerlang peroleh Gred A SPM 2021

- Oleh Vivi Olviana Najurus

KOTA KINABALU: Seramai 16,689 bersamaan 48.46 peratus daripada 34,438 calon peperiksaa­n Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di Sabah berjaya lulus semua mata pelajaran sekurang-kurangnya Gred E dalam mata pelajaran diambil.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Tah Nia Jaman, berkata secara keseluruha­nnya, pencapaian calon SPM 2021 bagi Sabah bagi yang diukur melalui pencapaian Gred Purata Negeri (GPN) iaitu nilai GPN yang lebih kecil menunjukka­n pencapaian yang lebih baik.

“Pencapaian GPN SPM 2021 adalah 5.35 dan peratus lulus bagi calon yang layak mendapat sijil adalah sebanyak 89.76 peratus.

“Bagi jumlah terbabit seramai 253 calon berjaya dengan cemerlang memperoleh Gred A iaitu A+, A dan A- pada tahun 2021,” katanya dalam satu kenyataan pengumuman SPM 2021 di sini semalam.

Beliau berkata 60 daripada 211 sekolah yang terlibat peperiksaa­n SPM Tahun 2021 adalah terletak di kawasan bandar dan mencatatka­n pencapaian lulus 90.00 peratus.

“Sebanyak 151 sekolah lain terletak di luar bandar turut mencapai kadar lulus 89.84 peratus dan keputusan ini menunjukka­n jurang perbezaan peratus lulus antara sekolah bandar dan sekolah luar bandar semakin mengecil iaitu 0.16 peratus,” katanya.

Bercakap mengenai analisis pencapaian mata pelajaran SPM, beliau berkata 36 daripada 74 mata pelajaran yang diambil oleh calon peperiksaa­n SPM Tahun 2021 di Sabah berjaya mencapai seratus peratus lulus.

Tambahnya, tiga daripada tujuh mata pelajaran teras turut menunjukka­n peningkata­n dari segi kualiti pada tahun 2021.

Dalam pada itu, Ahmad Nabil Abidin dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Kota Kinabalu terpilih sebagai pelajar cemerlang SPM 2021 bagi kategori 12 mata pelajaran sekurangku­rangnya 8A+ selepas berjaya memperoleh pencapaian 9[A+] 2[A] 1[A-].

Dua lagi pelajar terpilih bagi pelajar cemerlang kategori 11 mata pelajaran sekurang-kurangnya 8A+ masing-masing Muhammad Afnan Afif Dharmawi dari Sekolah Menengah (SM) Islamiah Tawau dengan pencapaian 9[A+] 2[A] manakala Rezki Rismayana Galam dari sekolah sama memperoleh 8[A+] 2[A] 1[B].

Sebanyak 10 sekolah terpilih Sekolah Terbaik SPM Tahun 2021 yang dinilai dari segi pencapaian Gred Purata Sekolah (GPS) ialah SM Sains Sabah, SMK Agama Kota Kinabalu, SMK Agama Mohamad Ali, SMK Agama Tun Ahmadshah, SM Sains Lahad Datu, SMK St Michael Penampang, SM Islamiah Tawau, SMK Agama Tun Juhar, SMK Agama Tun Datu Mustapha Papar dan SMK Agama Kimanis.

 ?? ?? KENANGAN: Tah Nia dan Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mohamad Alamin merakamkan gambar kenangan bersama pelajar cemerlang SPM 2021 di Kota Kinabalu semalam.
KENANGAN: Tah Nia dan Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mohamad Alamin merakamkan gambar kenangan bersama pelajar cemerlang SPM 2021 di Kota Kinabalu semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia