Pogba kecewa, Man United enggan lanjutkan kontrak beliau
LONDON: Paul Pogba meluahkan rasa kecewa dengan Manchester United dan berkata dia mahu membuktikan bahawa kelab ‘melakukan satu kesilapan’ dengan gagal melanjutkan kontraknya pada musim panas ini. Pemain berusia 29 tahun itu meninggalkan Old Trafford buat kali kedua tanpa yuran perpindahan apabila kontraknya secara rasmi tamat pada akhir bulan Jun ini dan sumber memberitahu ESPN bahawa dia mengesahkan kepulangan ke bekas kelab, Juventus untuk kontrak empat tahun.
Pogba yang baru-baru ini berkata, dia perlu merasai dihargai di United, menyelar kegagalan kelab untuk mengekalkannya dalam dokumentari yang disiarkan pada Jumaat dan bertajuk “The Pogmentary”.
“Saya merasakan mahu menunjukkan bahawa Manchester United melakukan satu kesilapan dengan tidak memberikan saya kontrak baharu,” katanya dalam petikan yang dilihat oleh akhbar The Athletic.
Bekas ejen Pogba, Mino Raiola, yang meninggal dunia pada bulan April kerana sakit, dilihat dalam dokumentari memberitahu Pogba bahawa United tidak menawarkan apaapa dari segi lanjutan kontrak.
Pogbamembalas:“Bagaimana kamu boleh memberitahu seorang pemain kamu mahukan dia tetapi tidak menawarkan apa-apa (kontrak)? Tidak pernah melihat ia berlaku.”
Pogba mengharungi penggal kedua bercampur-campur di Old Trafford dan dicemuh penyokong sendiri pada dua perlawanan terakhirnya — menentang Norwich City dan Liverpool.
Pemaintengahantarabangsa Perancis itu mendapati sukar untuk memenangi kejuaraan di United tetapi merupakan sebahagian skuad bekas pengurus Jose Mourinho yang memenangi Piala Liga Inggeris dan Liga Europa pada 2017, musim pertamanya kembali ke United.