Lelaki melecur, rumah dan kereta terbakar
TAMBUNAN: Seorang lelaki melecur dalam kejadian membabitkan kebakaran rumah di Kampung Lotong di sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan Desmond Micky @ Dominic berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 10.32 malam.
“Bertindak dengan kejadian, kita menggegaskan sepasukan pegawai serta anggota dari BBP Tambunan ke lokasi sejauh 21 kilometer berserta jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Pasukan bomba mengalami kesukaran masuk ke kawasan rumah mangsa disebabkan laluan yang sempit dan kita terpaksa menggunakan utiliti kenderaan pacuan empat roda sejauh dua kilometer dari laluan utama sebelum sampai ke lokasi,” katanya.
Beliau berkata pasukan bomba yang tiba segera menjalankan operasi memadam kebakaran sebelum kejadian berjaya dikawal jam 11.10 malam.
“Kejadian memusnahkan sebuah rumah jenis tidak kekal seluas 20X30 kaki persegi dan sebuah kenderaan pacuan empat roda turut terjejas sebanyak 30 peratus.
“Seorang lelaki kurang siuman berumur 60an dilaporkan melecur di seluruh badan dan diberikan rawatan awal oleh pihak EMRS di lokasi,” katanya sambil menambah mangsa kemudiannya dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.
Katanya operasi keseluruhan ditamatkan jam 12.10 tengah malam.