Ahli SAPP diminta terus konsisten dalam perjuangan bela nasib rakyat
KENINGAU: Sebanyak 158 cawangan Parti Maju Sabah (SAPP) memulakan mesyuarat agung tahunan (AGM) secara berkelompok di tujuh zon Sabah sejak 11 Jun lalu.
Timbalan Presiden SAPP, Edward Dagul, berharap mesyuarat itu dimanfaatkan ahli untuk memantapkan perjuangan parti di persada politik negeri ini.
Katanya, sebagai anggota Gabungan Rakyat Sabah (GRS), SAPP kekal kukuh dan relevan kerana konsisten dalam perjuangan melindungi hak serta kepentingan rakyat Sabah.
Beliau berkata sejak penubuhan SAPP kira-kira 28 tahun lalu, parti itu telah membuktikan kekuatan tersendiri berikutan masih mempunyai sokongan kuat di peringkat akar-umbi.
Dalam ucapan perasmiannya pada mesyuarat agung tahunan Zon Pedalaman baru-baru ini, beliau mengucapkan terima kasih kepada ahli parti di Zon Pedalaman yang terus setia dan konsisten dalam perjuangan.
Katanya, Presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee yang juga merupakan ADUN Dilantik juga konsisten dalam perjuangannya membela nasib rakyat, termasuk isu berkaitan dokumentasi untuk pendatang tanpa izin di negeri ini.
Sementara itu, Ketua Wanita SAPP Irene Chang, selaku pengerusi jawatankuasa penganjur menggesa semua ahli parti untuk meneruskan misi melalui GRS di mana SAPP sebagai anggota gabungan itu.
Hadir sama Setiausaha Agung merangkap Timbalan Presiden Datuk Richard Yong, Bendahari Agung merangkap Timbalan Presiden Japiril Suhaimin, dan Pengerusi Zon Pedalaman Joe Yong @ Johari Mohd Ali.