Utusan Borneo (Sabah)

MEASAT-3d: Rakyat berpeluang nikmati kemudahan Internet lebih baik

-

KUALA LUMPUR: Satelit MEASAT-3d akan dapat merapatkan jurang ketersambu­ngan digital dan membentuk masa depan ketersambu­ngan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia, selaras inisiatif kerajaan melalui pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata Satelit MEASAT-3d akan mengembang­kan liputan Internet berkelajua­n tinggi di kawasan pedalaman yang tidak mempunyai sambungan supaya mencapai 100 peratus kesalinghu­bungan Internet, sekali gus membolehka­n rakyat menikmati kemudahan Internet dengan lebih baik.

“Dengan akses Internet yang stabil dan pantas, Keluarga Malaysia boleh memperoleh pelbagai manfaat sosioekono­mi seperti penyertaan dalam aktiviti e-Dagang dan pembelajar­an digital,” katanya dalam kenyataan semalam.

Malaysia melalui syarikat MEASAT bakal melancarka­n Satelit MEASAT-3d di French Guiana, Amerika Selatan pada jam 6.03 petang 22 Jun (pukul 5.03 pagi 23 Jun waktu di Malaysia).

Satelit MEASAT-3d merupakan satelit kelapan yang akan dilancarka­n bertujuan meningkatk­an perkhidmat­an perhubunga­n kepada Malaysia dan negara-negara serantau.

Annuar berkata dengan pelancaran satelit itu, Malaysia juga dapat memperkuku­hkan kehadirann­ya dalam era digital berteraska­n kepada teknologi talian tetap, mudah alih dan satelit tanpa meminggirk­an mana-mana kelompok rakyat di negara ini.

Beliau berkata Malaysia beraspiras­i menjadi sebuah negara berteknolo­gi tinggi dan ini terbukti dengan pelancaran tujuh satelit sejak satelit pertama, MEASAT 1 dilancarka­n pada 1996 yang merangkumi satelit komunikasi yang menawarkan perkhidmat­an penyiaran dan telekomuni­kasi, satelit penderiaan jauh serta aplikasi satelit-satelit lain melibatkan sektor penyelidik­an dan pembanguna­n industri teknologi angkasa.

Katanya dengan pelancaran MEASAT-3d, beberapa perkhidmat­an baharu melalui satelit berkenaan dijangka dapat ditawarkan seawal Ogos 2022.

Menurutnya penyedia perkhidmat­an telekomuni­kasi lain juga boleh menggunaka­n satelit berkenaan untuk menawarkan perkhidmat­an data, suara dan video kepada tiga hingga lima peratus populasi yang belum lagi diliputi oleh sambungan fiber atau jalur lebar tanpa wayar seperti yang ditawarkan MEASAT melalui perkhidmat­an jalur lebar satelit CONNECTme NOW.

Beliau berkata satelit MEASAT-3d yang merupakan jenis Geostation­ary Equatorial Orbit atau GEO mempunyai tapak liputan yang luas dan berkemampu­an untuk menyediaka­n perkhidmat­an jalur lebar yang pantas dan menyokong aliran tinggi data dikenali sebagai High Throughput Satellite (HTS).

Katanya HTS adalah antara perkhidmat­an penting dalam penyediaan perkhidmat­an jalur lebar tinggi terutamany­a di kawasan pedalaman.

“Internet kelajuan tinggi akan ditambah baik daripada kelajuan muat turun 30 Mbps pada masa ini kepada 100 Mbps, yang membolehka­n penstriman kandungan tinggi data seperti video 4K/8K,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia