50 guru besar Beaufort sertai lawatan ke SK Pekan Menumbok
MENUMBOK: Seramai 50 Guru Besar dari Majlis Guru Besar (MGB) Beaufort telah melawat penandaarasan Program Transfomasi Sekolah 2025 (TS25) di Sekolah Kebangsaan Pekan Menumbok (SKPM) yang diketuai oleh Pengerusi MGBB, Marif Yusof, baru-baru ini.
Rombongan turut berkesempatan melawat ke bilik kokurikulum, kolam ikan, Taman Orkid, Taman Arnab, Taman Salji, Taman Bonsai serta kelas yang bercirikan PAK-21.
Turut serta dalam rombongan itu Pegawai SIPartner+ William Sipin, Pegawai SIPartner+ Lis Halimah Ag Kanak dan Timbalan Pengerusi Asinah Jamlus.
Marif berkata lawatan itu mengeratkan hubungan kerjasama, perkongsian maklumat dalam hala tuju organisasi dan tadbir urus organisasi di samping jalinan tali silaturahim. Katanya, lawatan kerja profesional dan penandaarasan dalam kalangan MGB Beaufort ke SK Pekan Menumbok merupakan sebahagian usaha untuk memantapkan kemahiran serta ilmu kepimpinan dalam kalangan guru besar.
“Untuk melaksankan transformasi ia memerlukan ilmu dan kepakaran. Melalui lawatan kerja profesional ini matlamat tersebut dapat direalisasikan” katanya.
Pengarah Program lawatan merangkap Ketua Biro lawatan, Sukan dan Rekreasi, Jamaludin Midin@Maidin, pula berkata hasil lawatan itu telah memotivasikan pihak MGB daerah Beaufort serta dapat mencetuskan idea yang baru serta dapat berkongsi kaedah penyampaian maklumat yang efisien khususnya kepada warga sekolah, ibu bapa, komuniti setempat dan juga pihak yang berkepentingan.
Beliau berkata, usaha Guru Besar SK Pekan Menumbok, Nordin Mohd Taip selaku pemimpin sekolah tersebut dalam melakukan proses transformasi sekolah secara berterusan demi kecemerlangan prestasi sekolah beliau khususnya dalam bidang kepimpinan, kurikulum, HEM dan juga kokurikulum telah menjadi nilai tambah kepada pihaknya untuk melakukan proses transformasi sekolah secara berkesan.
“Harapan pihak kami, semoga hasil dapatan lawatan ini akan memberi impak yang berkesan kepada semua sekolah rendah di daerah Beaufort,” katanya.
Majlis turut dimeriahkan dengan menandatangani Perjanjian Memorandum Persefahaman (MOU), persembahan tarian, dan Persembahan Brassband oleh murid-murid SK Pekan Menumbok.