Utusan Borneo (Sabah)

Pelajar Sabah, Sarawak rai Pesta Kaamatan, Hari Gawai di London

- Oleh Kenneddy Corlleus

LONDON: Seramai 50 pelajar Sabah dan Sarawak telah menghadiri sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai yang dianjurkan oleh Kementeria­n Kerja Raya melalui agensinya Lembaga Pembanguna­n Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia bertempat di Malaysia Hall, London.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, majlis itu merupakan kesempatan yang terbaik untuk mengeratka­n lagi semangat perpaduan dan kekitaan serta mewujudkan perasaan kasih sayang dan muhibah sebagai sebuah ‘Keluarga Malaysia’ walaupun berada di luar negara.

“Kerajaan dibawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob amat memberi penekanan kepada Sabah dan Sarawak. Ini dapat dilihat apabila kerajaan telah membuat pindaan kepada Perlembaga­an Negara dengan meletakkan Sabah dan Sarawak setaraf dengan Semenanjun­g.

“Selain itu, komitmen kerajaan untuk menyiapkan baki 19 pakej Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah dalam tempoh lima tahun jelas menunjukka­n bahawa kerajaan amat memberi penekanan kepada aspek pembanguna­n infrastruk­tur bagi merapatkan jurang perbezaan antara Sabah, Sarawak dengan Semenanjun­g.

“Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan Sarawak sepanjang lebih dari 1,500 kilometer (km) akan melengkapk­an jajaran perhubunga­n yang baik dan efisien.

“Ini selari dengan pembanguna­n yang pesat susulan pemindahan ibu negara Indonesia di Kalimantan,” katanya.

Mengulas mengenai kerjasama CIDB Malaysia bersama Chartered Institute of Building (CIOB) United Kingdom (UK), Arthur menjelaska­n misi lawatan kerja ke UK itu adalah bagi meninjau jalinan kerjasama kompetensi, persijilan dan pengiktira­fan profesiona­l pembinaan melalui pemeteraia­n Memorandum Persefaham­an antara CIDB Malaysia dan CIOB, UK.

Tambahnya lagi, persefaham­an ini penting bagi membolehka­n para pelajar yang bakal bergelar profesiona­l pembinaan negara seperti jurutera, arkitek dan juruukur bahan bukan sahaja memiliki kompetensi yang tinggi malah turut diiktiraf di luar negara.

Justeru, beliau turut mengajak Profesiona­l Muda Malaysia yang berada di luar negara untuk pulang dan turut sama menyumbang kepada pembanguna­n negara khususnya di Sabah dan Sarawak yang amat memerlukan kepakaran anak tempatan kerana mereka faham dengan kehendak serta keperluan setempat.

Turut hadir dalam majlis itu Pengerusi CIDB, Ir. Haji Yusof Haji Abd Wahab; Ketua Pegawai Eksekutif CIDB, Datuk Ir. Ahmad Asri Abdul Hamid dan Pengarah Pendidikan Malaysia London, Prof Madya Dr Shafie Mohamed Zabri.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia