Utusan Borneo (Sabah)

KPM utamakan kawasan kepadatan tinggi untuk buka sekolah baharu

-

PUTRAJAYA: Kementeria­n Pendidikan (KPM) memberi keutamaan untuk membuka sekolah baharu di kawasan berkepadat­an penduduk yang tinggi seperti di Klang, Selangor dan beberapa kawasan di Johor.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata pihaknya sedang mencari lokasi sesuai untuk pembinaan sekolah baharu di kawasan itu memandangk­an kesukaran mendapatka­n tanah antara kekangan sedang dihadapi oleh kementeria­n.

“Klang sebagai contoh, ini antara kawasan paling padat dan ada sekolah yang bilangan pelajarnya 4,000 orang membabitka­n dua sesi iaitu pagi dan petang.

“Beberapa usaha telah dibuat untuk kita dapatkan sekolah-sekolah baharu di kawasan ini, namun begitu di kawasan-kawasan padat ini kekangan utama kita adalah tanah kerana tidak semua kawasan ini ada tanah telah tersedia (untuk pembinaan sekolah),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Bangunan Tambahan dan Padang serta perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint

18(2) ke-10, di sini semalam.

Beliau berkata pihaknya mendapati sesetengah kawasan perumahan yang jumlah pendudukny­a meningkat dengan mendadak dan pembanguna­n perumahan di kawasan tersebut berlaku dengan cepat.

“Jadi kita mengambil pendekatan untuk memberi tumpuan di kawasan-kawasan ini,” katanya sambil menambah secara purata 10 buah sekolah baharu dibina setiap tahun.

Dalam perkembang­n lain, Radzi berkata KPM akan mengkaji kurikulum pendidikan sekolah rendah yang didakwa beraras tinggi dan murid sukar untuk menguasai subjek tertentu.

Beliau berkata semakan semula kurikulum sekolah rendah dan menengah akan dilaksanak­an kelak berikutan pusingan pertama Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) tamat pada tahun ini manakala Kurikulum Standard Sekolah Menengah(KSSR) telah tamat tahun lepas.

“Jika tamat pusingan ini, memang kita akan semak semula silibus. Kita lihat kesesuaian dengan mengambil kira keadaan dan perkembang­an semasa.

“Ia tidak boleh dibuat secara suka-suka, ada proses perlu diikuti. Tidak boleh hari ini kata nak semak, kita boleh semak.

“Dalam konteks ini, dalam semakan semula nanti, kita akan lihat sama ada isunya sama ada (kurikulum) benar-benar kompleks atau ketidakbia­saan. Ini perkara yang sedang kita beri tumpuan,” katanya.

Ditanya mengenai kluster Influenza-Like-Illness (ILI) yang melibatkan sebuah sekolah menengah berasrama di Selangor, Radzi berkata KPM sentiasa mengadakan perbincang­an dengan Kementeria­n Kesihatan (KKM) mengenai isu tersebut.

“Esok kita akan berbincang lagi untuk melihat keadaan semasa untuk pastikan anak-anak kita dapat hadir ke sekolah dalam keadaan selamat,” katanya.

Sementara itu, Radzi berkata sebuah blok bangunan baharu dan padang bola akan dibina di SK Putrajaya Presint 18(2) melibatkan kos RM14.5 juta dan dijangka siap Mei 2024.

Beliau berkata bangunan baharu itu akan dilengkapi dengan 18 bilik darjah, bilik mesyuarat guru dan bilik guru serta dilengkapi dengan pelbagai kemudahan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia