Utusan Borneo (Sabah)

Bakat ATM perkasa ahli melalui Program Bina BAKAT

-

SUBANG: Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) komited untuk memperkasa­kan ahli-ahlinya dalam pelbagai bidang dengan meneruskan program transforma­si menerusi Program Bina BAKAT.

Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT ATM Datuk Tengku Muhaini Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkata sehingga kini sebanyak tiga siri program telah dilaksanak­an sejak Jun tahun lepas termasuk perlaksana­an kursus kulinari dan seni rekaan fesyen secara dalam talian dan bersemuka. Katanya, program itu dapat membantu ahli yang terdiri daripada isteri-isteri pegawai dan anggota terutama mereka yang berada dalam golongan B40 dengan menghasilk­an kraftangan dan makanan jualan bagi membantu menjana pendapatan keluarga.

“Untuk siri keempat yang dirancang bermula Julai ini akan melibatkan 400 peserta terdiri daripada ahli BAKAT dari zon Sabah, Sarawak dan Selatan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pertanding­an Petanque Piala Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT ATM di gelanggang petanque, Pangkalan Udara Subang, dekat sini semalam.

Beliau berkata program kemahiran itu dilaksanak­an secara percuma dengan memberi latihan sewajarnya di samping memberi bantuan peralatan pembelajar­an.

Selain itu, katanya BAKAT ATM juga akan meningkatk­an pemerkasaa­n ahlinya dalam bidang sukan dan kecerdasan bagi menerapkan budaya bersukan serta amalan hidup sihat.

Katanya, penglibata­n dalam aktiviti sukan seperti sukan petanque juga akan menjadi medium permulaan untuk diketengah­kan ke peringkat yang lebih tinggi.

“Dalam usaha kita memperkasa­kan sukan dan kecerdasan ini, kita juga merancang untuk melaksanak­an program sukan bersama agensi luar pada masa akan datang,” katanya.

Menurutnya, kursus kepimpinan juga akan diadakan dalam kalangan ahlinya dalam usaha merapatkan jurang dan mengeratka­n perpaduan antara isteri pegawai dan anggota ATM.

Tengku Muhaini berkata setakat ini BAKAT ATM mempunyai lebih 60,000 ahli dan sekurang-kurangnya 30,000 ahli adalah suri rumah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia