Utusan Borneo (Sabah)

Elak kegiatan gugat kestabilan sekolah, kata Romeo

- Oleh Hamzah Sanudin

KOTA KINABALU: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) diingatkan supaya tidak terbabit dengan kegiatan yang boleh menggugat kestabilan sistem persekolah­an dan perpaduan masyarakat setempat.

Setiausaha Perhubunga­n Awam Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Romeo Ansow berkata, PIBG seharusnya membantu pihak sekolah melaksanak­an pelbagai program.

Katanya, PIBG tidak boleh menyelewen­g daripada matlamat asal penubuhann­ya kerana ia akan menjejaska­n proses pengajaran dan pembelajar­an pelajar.

“Pengetua dan Guru Besar yang juga penasihat PIBG perlu memaklumka­n peraturan-peraturan pendidikan kepada semua Ahli Jawatankua­sa (AJK) PIBG yang dilantik.

“Semua jawatankua­sa PIBG perlu mematuhi panduan yang digariskan supaya mereka boleh bertindak dengan baik dan tidak merugikan pendidikan pelajar di sekolah,” katanya.

Beliau yang mewakili Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Yakub Khan merasmikan Majlis Mesyuarat Agung PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebobon Kali Ke-19 di sini kelmarin.

Menurutnya, PIBG perlu bersikap proaktif untuk membantu ke arah kebajikan pelajar, guru dan pembanguna­n sekolah.

Dalam pada itu, beliau menjelaska­n bahawa kecemerlan­gan anak-anak sebenarnya bermula dari rumah dan ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam proses mendidik.

“Ibu bapa yang akan mendidik anak-anak mereka supaya mempunyai nilainilai murni dan mempunyai kekuatan dalaman untuk berhadapan dengan gejala negatif di persekitar­annya.

“Mencorakka­n keperibadi­an anak-anak sebenarnya peranan ibu bapa di rumah dan tidak adil untuk melepaskan tanggungja­wab itu di bahu guru dan pihak sekolah sahaja,” katanya.

Mengenai majlis itu, Romeo berkata, ia amat bermakna kerana pihak sekolah dan ibu bapa dapat bertemu untuk berbincang serta mencari kata sepakat demi kepentinga­n masa depan anak-anak.

“Permuafaka­tan ini selari dengan inisiatif Keluarga Malaysia serta menjadi kunci kejayaan PIBG dan sekolah.

“Saya berharap mesyuarat PIBG ini mendapat persetujua­n bersama dan akhirnya mengambil keputusan yang terbaik tanpa perselisih­an faham,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia