Utusan Borneo (Sabah)

Dua warga asing maut ditetak dengan parang

- Oleh Hamzah Sanudin

SEMPORNA: Dua lelaki warga asing maut selepas ditetak menggunaka­n parang di kawasan sebuah Gereja, di Ladang Pinang, Kalumpang, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kirakira jam 4.30 petang itu, kedua-dua mangsa berumur 52 dan 57 tahun terbabit disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian tangan, tengkuk, leher dan kepala akibat tetakan tersebut.

Difahamkan kejadian itu berpunca daripada perselisih­an faham antara salah seorang mangsa dengan suspek di lokasi kejadian.

Suspek kemudianny­a mengambil sebilah parang dan menetak mangsa, manakala mangsa kedua yang cuba meleraikan keadaan turut ditetak.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superinten­den Mohd Farhan Lee Abdullah ketika dihubungi Utusan Borneo mengesahka­n kejadian itu.

Farhan berkata, pihaknya menerima aduan mengenai kejadian itu pada jam 6.21 petang sebelum sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian.

“Suspek lelaki warga asing berumur 29 tahun terbabit sudah ditahan berhampira­n kawasan klinik milik ladang tersebut. Suspek menyerah diri selepas berjaya dipujuk anggota polis dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, siasatan di tempat kejadian turut menjumpai parang yang digunakan suspek semasa melakukan jenayah tersebut.

“Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tawau untuk bedah siasat dan polis masih meneruskan siasatan ke atas kes tersebut.

“Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 3 Julai depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

 ?? ?? BUNUH: Kawasan kejadian kes bunuh dua warga asing terbabit.
BUNUH: Kawasan kejadian kes bunuh dua warga asing terbabit.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia