PBS KONSISTEN, KEKAL RELEVAN
Kekuatan dalam gabungan GRS penting sebagai pemacu masa depan rakyat, kata Hajiji
KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) adalah antara parti politik utama yang sentiasa konsisten serta kekal relevan sebagai pemacu masa depan rakyat.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, apa juga keputusan yang diperolehi dalam pemilihan parti, menang atau sebaliknya, semua kena terima keputusan dengan hati terbuka.
“Apa yang pasti setiap pemimpin, ahli, penyokong adalah aset dan komponen yang amat penting untuk perjuangan parti. Segera rapatkan barisan untuk terus memperkukuh parti dan perjuangan.
“Hakikatnya, sebagai salah satu komponen utama Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Kerajaan Negeri GRS-BN, kesatuan serta kekuatan PBS adalah amat penting untuk kesinambungan perjuangan membangunkan dan membela kepentingan rakyat dan negeri,” katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan PBS Ke-36 dan Ke-37 di sini, semalam.
Beliau berkata, GRS adalah sebuah jajaran politik lokal yang menjadi formula tempatan dalam mewujudkan permuafakatan rakyat bagi mendepani landskap baharu politik negara.
Katanya, GRS terbina atas mandat rakyat, penubuhan GRS sebagai sebuah entiti politik rasmi pada 11 Mac 2022 adalah juga manifestasi aspirasi rakyat.
“Kita akan meneruskan komitmen melaksanakan Agenda Sayangi Sabah yang termaktub dalam Aku Janji GRS yang telah kita tawarkan sebagai Manifesto PRN ke-16 yang lalu.
“Komitmen kita telah diterjemahkan dengan penjajaran Agenda Sayangi Sabah dan Aku Janji GRS di dalam dokumen pelan pembangunan negeri iaitu Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang telah dibentangkan pada 29 Mac 2021,” katanya.
Katanya, GRS akan terus perjuangkan, bukan sekadar pelaksanaan keseluruhan hak dan kepentingan yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, malah hak dan kepentingan yang hadir dan terjamin bersama Perjanjian Malaysia 1963.
Menurutnya, GRS berpendirian semangat dan prinsip MA63 itu sentiasa hidup dan relevan sehingga hari ini dan masa depan termasuk pertanggungjawaban yang digariskan di bawah Artikel 8 MA63.
“Atas sebab itu, kita memutuskan untuk menyertai misi lawatan kerja rasmi yang diketuai Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Ongkili ke The National Archives, London baru-baru ini.
“Kita perlu sentiasa memperkukuhkan tuntutan kita dengan fakta dan data yang bersandarkan kepada rekod rasmi.
“Saya juga melihat inisiatif ini adalah satu pendekatan strategik yang menggabungkan pasukan kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan termasuk dari Pejabat Peguam Negara,” katanya.
Hajiji berkata, usaha itu penting untuk membina pemahaman dan membentuk penerimaan para penggubal dan pelaksana dasar di peringkat persekutuan bahawa MA63 itu bukan hanya relevan kepada rakyat di Sabah dan Sarawak.
Kerana hakikatnya, Hajiji menjelaskan MA63 adalah sebuah dokumen milik bersama sebagai kontrak yang memeterai penubuhan Persekutuan Malaysia dan mengikat seluruh warga Malaysia.
Dalam pada itu, Hajiji juga mengalu-alukan syor PBS agar Jawatankuasa Dwi-Partisan Pilihan Khas di Dewan Undangan Negeri (DUN) ditubuhkan sebagai susulan kepada gerak kerja yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Panglima Dr. Jeffry Kitingan.