Masyarakat perlu terus peka ancaman aedes
KENINGAU: Masyarakat setempat dinasihatkan agar tidak mengabaikan aspek kebersihan di kawasan komuniti masing-masing kerana ia mampu membawa risiko penyakit berbahaya.
Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Robert Tawik berkata, walaupun masih memerangi penularan wabak pandemik COVID-19, masyarakat perlu diingatkan bahawa penyakit denggi yang dibawa nyamuk aedes turut membawa ancaman besar kepada nyawa.
“Kita mungkin sedikit lupa dengan ancaman denggi memandangkan kita terlalu berwaspada dengan pandemik COVID-19 pada ketika ini. Perlu diingatkan kawasan tempat kita tinggal terdedah dengan penyakit-penyakit ini sekiranya kurang kesedaran.
“Tahun lepas, Sabah mencatatkan 1,763 kes denggi dan daripada jumlah itu, lima kematian direkodkan. Angka itu mungkin kecil berbanding COVID-19, ia sesuatu yang perlu kita bimbang dan jangan diambil ringan.
“Perlu diingatkan penyakit denggi ini adalah penyakit yang sangat berbahaya kerana ia juga membawa kepada risiko kematian, justeru saya percaya program perangi aedes ini adalah satu langkah tepat untuk dilaksanakan dalam setiap komuniti,” katanya ketika merasmikan Program Gotong-Royong Mega 1.0 Perangi Aedes Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Keningau 2022 di Kampung Bunga Raya, barubaru ini.
Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor turut memuji semua pihak yang terlibat khususnya masyarakat setempat yang hadir menjayakan program demi kesejahteraan bersama.
Katanya, program itu bukan sahaja berupaya meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan kebersihan persekitaran tetapi juga secara tidak langsung memupuk semangat perpaduan yang disertai oleh masyarakat berbilang kaum dan agama.