Kawalan pos sempadan diperketat, kekang aktiviti seludup haiwan
KUDAT: Tindakan kawalan di sekitar pintu masuk wilayah daerah ini akan terus diperketatkan bagi mengekang aktiviti penyeludupan haiwan berisiko membawa penyakit eksotik ke negeri ini.
Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan Datuk James Ratib berkata, pasukan penguat kuasa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah mengambil langkah berkenaan untuk mengelak risiko penyakit berjangkit seperti penyakit kuku dan mulut.
Katanya, kawalan di pospos sempadan khasnya di Pulau Banggi akan terus dipertingkatkan pihak penguat kuasa Jabatan Veterinar.
“Kita bimbang kemasukan haiwan yang diseludup dari negara jiran boleh merisikokan ternakan di negeri ini dengan penyakit eksotik seperti kuku dan mulut,” katanya ketika melakukan lawatan kerja ke Pulau Banggi dekat sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, James turut menegaskan kementeriannya bukan sahaja memantau pos-pos sempadan malah akan bekerjasama dengan agensi penguat kuasa lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Menurutnya, usaha itu bagi memantau lorong tikus yang dijadikan laluan penyeludup membawa masuk haiwan menerusi Pulau Banggi seterusnya ke negeri ini.
Beliau berkata, beberapa kawasan berhampiran Pulau Banggi yang berisiko menjadi pendaratan haiwan tanpa lesen seperti Pulau Balambangan, Pulau Mangsi, Pulau Malawi, dan di pesisir pantai Damaran perlu kawalan ketat pihak penguat kuasa veterinar dengan kerjasama agensi penguat kuasa lain agar aktiviti terbabit dapat dihalang.
“Penyakit bawaan haiwan yang diseludup membawa risiko dan kesan buruk terhadap industri ternakan di negeri ini.
“Justeru, kerjasama semua pihak amat penting bagi menjaga kualiti dan produktiviti ternakan dalam negeri kita,” katanya.
Selain itu jelasnya, menjelang perayaan Hari Raya Aidiladha ini, pihaknya akan mempergiatkan lagi operasi membanteras penyeludupan haiwan di semua pintu sempadan dengan menempatkan kakitangan penguat kuasa Jabatan Veterinar.
Katanya, para pengguna tidak perlu bimbang dengan kualiti ternakan dari negeri ini.
Pihaknya akan memastikan tahap kesihatan binatang ternakan seperti lembu, kerbau dan kambing terus dipantau rapi sebelum dipasarkan kepada pengguna khususnya bagi keperluan umat Islam menjelang Hari Raya Aidiladha akan datang.
Semasa lawatan itu, James turut mencadangkan agar sebuah pusat kuarantin dibina di Pulau Banggi bagi keperluan Bahagian Penguat Kuasa Veterinar.
Beliau berkata, sebidang tanah seluas empat ekar sudah dikenal pasti dan perkara itu akan dibawa kepada menteri dan Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Negeri Sabah untuk proses kelulusan bagi melancarkan tugas penguatkuasaan di pulau berkenaan.
Pada masa sama, pihaknya juga akan memastikan penambahan kakitangan penguat kuasa veterinar di Pulau Banggi dilakukan dalam masa terdekat memandangkan ketika ini hanya terdapat tiga orang sahaja yang bertugas di pulau itu.
Turut serta dalam lawatan itu termasuk Pengarah Veterinar Negeri Sabah Dr. Normah Yusop; Ketua Penguat Kuasa Veterinar Francis Palikat; Pegawai Penguat Kuasa Veterinar Dr. Loren Adam; Ketua Seksyen Kuarantin dan Import Eksport Dr. Nur Hasreena Nadia Ahlun; serta pegawai-pegawai veterinar Kementerian Pertanian dan Perikanan Negeri Sabah.